Resipi kali ini adalah Laksa kegemaran keluarga saya…
Mesti ramai yang suka makan laksa kan? Terdapat perbagai cara memasaknya. Biasanya bila masak laksa, saya dapati ramai yang suka taruh belacan. Oleh kerana suami saya tak suka bau belacan jadi semua masakan saya tak pernahlah ada belacan.
Saya juga tidak masukkan gula atau serbuk perisa msg ke dalam kuah laksa. Saya suka masukkan lengkuas, serai dan banyak bawang besar yang dikisar supaya kuah laksa terasa manis dari air bawang dan juga manis dari isi ikan. Kalau boleh, bagus juga jauhi msg ni sebab banyak sangat keburukan pada kesihatan. Ya lah kalau makan di luar tu memang sukar kita nak avoid kan? tapi sekurang-kurangnya bila msg tak ada dalam dapur kita, banyak juga tu kita dah kurang dari mengambilnya.
Jom cuba Laksa Kasih & Spaghetti Organik yang pastinya ia berkhasiat. 😉
Bahan-bahan:
1) Mee Laksa atau Spaghetti
2) Telur rebus
Kuah Laksa
1) 8 ekor ikan kembung direbus dengan dengan 10 mug air. Dah masak biarkan sejuk.
2) 2″ lengkuas diketuk
3) 2 batang serai diketuk
4) 15 cili kering dibuang biji dan rendam air panas
5) 4 labu bawang besar
6) 10 keping asam gelugur dan air asam jawa
7) 2 kuntum bunga kantan, dibelah dua
8) Segenggam daun kesum. Saya suka masukkan banyak daun kesum. Boleh kurangkan
Caranya:
1) Isi ikan ditumbuk. Saya ambil semua tulang ikan bersama sedikit air rebusan ikan dan kisar hingga halus kemudian tapis ambil airnya.
2) Cili kering dan bawang besar dikisar dengan sedikit air rebusan ikan
3) Masak semula air rebusan ikan dan masukkan isi ikan, air tulang, bahan kisar cili dan bawang, asam gelugur, air asam jawa, lengkuas dan serai. Masak sehingga mendidih
4) Masukkan bunga kantan dan daun kesum
5) Reneh sekejap.
Ops, jangan lupa garam secukup rasa.
Bahan untuk ulam:
1) Timun dihiris halus
2) Salad dimayang
3) I labu bawang besar dimayang
4) Cili padi, cili merah dan limau nipis
Kalau suka belacan boleh je masukkan ke dalam kuah laksa. Kuah ini lebih sedap di makan bersama mee laksa.
Di rumah cuma saya seorang saja yang suka makan ulam kemangi dan selom bersama laksa, cubalah sedap, hehe…
Yummy! 🙂