Ikan Jenahak dengan halba campur masak lemak putih

Lamakan saya bercuti? hehe..

Hari ini saya masuk entri sulung untuk tahun 2017 iaitu resipi ikan jenahak dengan halba campur masak lemak putih.

Masak lemak ini saya buat beberapa hari yang lepas. Ada sedikit kelainan dari resipi-resipi saya sebelum ini. Biasanya rempah halba campur ni kita masukkan dalam kari atau gulai ikan. Tapi kali ini saya masukkan dalam masak lemak. 
Resipi ini mudah dan simple saja. Cubalah, mungkin anda akan suka.. 😀

Bahan-bahan:

2 keping ikan jenahak dipotong kiub
3 ulas bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih dihiris 
Cili padi dihiris
1 sudu teh penuh rempah halba campur
1 cawan air
2/3 cawan santan kotak kara
Serbuk kasar lada hitam
Garam secukup rasa

Cara:
Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang merah dan cili padi.
Kemudian masukkan halba campur, kacau sehingga bawang kekuningan.
Masukkan air.
Bila air mendidih, masukkan ikan dan gaul rata.
Biar di atas api sehingga ikan masak.
Akhir sekali masukkan santan, lada hitam dan garam secukup rasa.

Pengat Pisang Tanduk & Oat

Minggu lepas awal pagi lagi saya telah pergi ke pasar tani. Selain beli ikan dan daging serta barang keperluan yang lain saya juga turut beli 2 biji pisang tanduk. Esok harinya saya goreng sebiji. Tetapi yang satu lagi tu tersadai beberapa hari di atas meja dapur sehingga warna kulit pisang pun dah berubah hehe.. Tapi kan, biasanya pisang tanduk ni tidak seperti pisang lain, ia lambat rosak. 

Sambil terpandang pada pisang itu terasa teringin pula nak makan pengat. Jadi petang tadi, saya pun buatlah pengat pisang. Selalunya kalau buat pengat pisang, saya akan campurkan sedikit sago tapi kali ini saya guna oat.

Habis licin! Tak sangka pula rasanya sedap … tambahan pula oat kaya dengan fibre dan ianya baik untuk kesihatan.

Bahan-bahan:

1 biji pisang tanduk
3 sudu besar penuh oat segera (instant oatmeal)
1 1/2 sudu besar gula perang / terpulang pada citarasa
1/2 cawan santan kotak (saya guna kara)
2 1/2 cawan air
Garam secukup rasa

Cara:

1. Pisang dipotong mengikut citarasa
2. Masukkan air, gula dan pisang ke dalam periuk. Masak sehingga pisang lembut
3. Masukkan oats dan kacau rata.
4. Masukkan santan dan garam secukup rasa. Bila mendidih padam api.

Daging Bumbu bumbu Kasih

Assalam dan selamat petang.
Apa khabar anda semua? Sekarang kita berada di penghujung tahun. Tak sampai sebulan kita akan menjengah tahun baru, InsyaAllah. Panjang umur usia kita meningkat lagi. Semoga Allah kurniakan pada kita dan keluarga kesihatan yang baik dalam menjalani kehidupan ini.

Kali akhir saya update blog kurang lebih 5 minggu yang lepas. Rasa lama sungguhlah terbiar blog kesayangan saya ni. Kadang tu mood memblog tu ada tapi masa tidak mengizinkan. Ada ketika tu bila masa tu ada, mood pulak tak ada. Begitulah putaran masa dan mood saya hehe..

Hari ini saya masak daging bumbu bumbu kasih untuk makan tengahari. Jom tengok resipi..

Bahan-bahan:

300g daging lembut dihiris nipis
1 biji tomato di potong kiub
2 pokok ketumbar dihiris
8 cili padi merah dihiris
Jus 2 biji limau kasturi
Garam secukup rasa
Minyak

Bahan kisar:

8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
3 batang serai
1 kuntum bunga kantan
2 inci halia muda
1 cawan air

Cara:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak
2. Masuk jus limau kasturi dan daging. Kacau sehingga rata
3. Masukkan tomato, daun ketumbar dan cili padi. Masak sehingga hampir kering.
4. Akhir sekali garam secukup rasa