Buah Perah

Baru-baru ini saya beli buah perah dengan harga RM4. Banyaknya seperti di dalam gambar. Saya beli yang telah direbus. Rasanya macam makan buah berangan, lemak tapi pahit sedikit. Sedap juga. Sebenarnya ini adalah kali pertama saya mengetahui, tengok dan makan buah perah. Rupanya ia adalah buah yang agak popular juga di negeri Pahang. Buah perah jeruk dan perah rebus biasanya dihidangkan semasa minum petang.

Pokok perah adalah pokok hutan. Ia banyak didapati di kawasan hutan seperti di Ulu tembeling dan Taman Negara.

Kulit buah ini nipis dan keras. Ia perlu dijeruk atau direndam di dalam air untuk menghilangkan getahnya.

BUAH PERAH
image

Berwaspada, buah ini jika dimakan mentah secara berlebihan boleh menyebabkan mabuk atau pening kepala.

Agaknya buah perah ini kalau dimasak lemak mungkin sedap..

Buah Cepu

Buah Cepu dikenali juga dengan beberapa nama lain seperti cerapu, mencepu, kecupu dan copu. Agak sukar nak dapat buah ini sebab ia bermusim. Rasanya sekarang ni dah tak ramai orang tanam pokok cepu.

Bila pandang pada buah cepu yang ranum, ia seakan buah pisang kaki tapi rasanya amat beza sekali. Ada juga rasa sedikit seperti buah manggis. Buah ini tidaklah besar, lebih kurang saiz buah limau nipis.
Buah cepu rasanya masam, sedikit manis dan bergetah. Nak makan isinya, kena picit buahnya, buang getahnya dulu… kalau tidak, melekat getah dibibir. Saya lebih suka buah cepu yang ranum dimasukkan kedalam sambal dan yang muda pula menambah rasa enak pada lauk pauk masak lemak.

BUAH CEPU
image

Buah muda biasanya dimasak dengan ikan sungai. Tapi bagi saya, sedap masukkan kedalam masak lemak daging.

MASAK LEMAK TULSI CEPU
image

Bahan:
1) 1 mangkuk besar daun tulsi
2) Cili padi & serbuk kunyit ditumbuk hancur
3) 1 mangkuk kecil, daging yang dihiris nipis
4) 3 biji buah cepu muda, dihiris
5) Santan pekat. Saya guna 3/4 santan kotak kara saiz kecil.

cara:
1) Didihkan sedikit air dan masukkan bahan yang ditumbuk dan daging.
2) Kemudian masukkan daun tulsi dan buah cepu. Akhir sekali masukkan santan dan garam secukup rasa.

Mungkin ramai tidak suka dengan daun tulsi kerana baunya yang sangat kuat. Boleh tukar dengan daun lain atau boleh juga masak ikan sungai dengan buah cepu saja. Saya suka kuah masak lemak yang pekat.. 🙂

SAMBAL CEPU
image

Bahan:
1) 9 biji cili merah dibuang biji
2) 7 biji cili padi
3) 3 biji buah cepu ranum dibelah buang biji. Kulit buah cepu tidak dibuang dan kemudian isi dan kulit dihiris nipis.

Tumbuk cili atau kisar hingga hancur dan kemudian gaul dengan buah cepu. Garam secukup rasa.

Suami saya suka sambal cepu digaul dengan durian segar. Mmm… sedap!

Buah Setoi

Lama sungguh saya tak makan buah setoi, walaupun baru-baru ini saya ternampak ada dijual di supermarket Siam Paragon, Bangkok. Bila dah tak suka dan tak teringin nak makan, jadi tak belilah. 🙂

Apa yang menarik dengan buah ini ialah saiznya. Inilah kali pertama, saya tengok buah setoi yang besar dari biasa. Baja apa agaknya yang digunakan, ya?

Saya ingat masa zaman budak dulu, buah ini banyak dijual di Kedah dan Perlis. Sekarang tak pernah nampak pun atau mungkin sebab saya tak pernah cari. Masa mak saya muda dulu, dia suka sangat makan setoi, cicah dengan kicap atau sambal belacan. Ada juga setengah orang suka buat masak lemak campur dengan udang kering atau dengan daging. Kata orang yang pernah makan masak lemak buah setoi, rasa masam buah ini berkurangan apabila dimasak. Mungkin satu hari nanti saya kena cuba.

BUAH SETOI
image

Seingat saya, belum pernah saya rasa buah setoi yang manis. Tapi ada ke yang manis?