Dah lama merancang nak buat sambal hitam, tertangguh tangguh hingga hari ini baru saya berjaya laksanakan. Sebenarnya, ini adalah kali kedua saya masak sambal hitam.
Resipinya lebih kurang sama seperti sebelum, cuma kali ini saya olah sedikit cara membuatnya.Ternyata ia lebih sedap hehe..
Bahan-bahan:
49 biji buah belimbing buluh (buah besar)
1 1/2 sudu teh garam
Cara:
1) Masukkan buah belimbing buluh ke dalam periuk tanpa air. Saya guna periuk ‘non stick’. Saya dapati guna periuk ini lebih mudah kerana bila buah mulai kering, ia tidak melekat diperiuk dan periuk pun senang dicuci.
2) Tutup periuk dan masak di atas api yang kecil. Buah belimbing akan mengeluarkan jus. Kacau sekali sekala
3) Tabur garam ke atas buah belimbing buluh dan kacau rata
4) Bila hampir kering hendaklah di kacau selalu dan masak sehingga buah belimbing buluh kecut dan menjadi kehitaman.
Merebus buah belimbing buluh sehingga kering mengambil masa lebih kurang 2 jam
Sambal Hitam
Bahan-bahan:
1) Rebusan buah belimbing buluh hitam dikisar/ditumbuk hancur
2) 300g bawang merah (6 ulas dihiris nipis. Baki dikisar/ditumbuk hancur)
3) 33 biji cili padi (terpulang pada citarasa) dikisar/ditumbuk hancur
4) 60g ikan bilis yg telah dikopek, dikisar/ditumbuk (jangan terlalu hancur)
5) 1/2 cawan minyak
Cara:
1) Panaskan minyak dan goreng bawang sehingga kuning
2) Masukkan bawang kisar dan cili kisar. Kacau dan goreng di atas api sederhana sehingga terbit minyak.
3) Masukkan ikan bilis dan goreng sehingga ikan bilis kelihatan sedikit garing
4) Masukkan buah belimbing buluh. Kacau sebati. Kecilkan api dan goreng sehingga sambal kelihatan hitam
5)Tuang ke dalam tapis dan tekan dengan sudu atas sambal hitam supaya buang lebihan minyak. Kalau suka sambal kelihatan basah-basah, tak perlulah buangkan minyak. Terpulang pada citarasa.