Ketumbar Jawa

Pokok ketumbar jawa ini saya beli pada 3 bulan lepas. Tak sangka pula pokok ini hidup, sebabnya beberapa hari selepas saya pindahkan ia ke dalam pasu, pokok ini jadi kering, kekuningan dan macam dah tak nak hidup lagi, hehehe…
Alhamdulillah, sekarang nampaknya pokok ketumbar jawa saya ini, hidup dengan segar bugar sekali. 😉

Pokok ketumbar jawa boleh ditanam dengan biji atau keratan batang. Walaupun ia lebih dikenali sebagai herba masakan yang digunakan sebagai pengganti ketumbar, ketumbar jawa juga digunakan untuk tujuan perubatan. Namun begitu ia tidak sesuai digunakan sebagai ubat bagi wanita yang hamil atau yang ingin hamil.

Seluruh bahagian pokok ini digunakan untuk merangsang dan melawaskan haid, merangsang peluh, merawat demam panas, sakit perut, mengeluarkan angin dari perut dan usus dan menurun tekanan darah tinggi.

image

image

Daun muda ketumbar jawa berbau seperti daun ketumbar biasa dan ia boleh dibuat ulam atau pun di masukkan ke dalam masakan bagi menambah perisa…

Ruj:
Ong Hean Chooi
Rempah-ratus
Khasiat makanan & Ubatan

Chervil

Chervil adalah satu tumbuhan aromatik dan rasanya sedikit pahit. Ia kaya dengan vitamin A dan C, serta juga mineral yang penting untuk fungsi saraf dan otot.

CHERVIL
image

Menurut Bartram’s Encyclopedia of Herbal Medicine:
Cervil diambil untuk senak perut dan tekanan darah tinggi.
Cara mengambilnya:
1/2~1 tsp chervil untuk setiap cawan air mendidih dan rendam selama 15 minit. Dos: 1 cawan tiga kali setiap hari.
&
Jus segar chervil: 1/2~1 tsp sebagai losyen untuk ekzema.

Herba chervil biasanya dimasukkan ke dalam masakan untuk menambah rasa sedap pada makanan. Ia boleh dimakan dalam kuantiti yang lebih berbanding dengan beberapa jenis herba yang lain

CENDAWAN ERYNGII & CHERVIL

image

Semalam saya masak satu masakan yang simple, saya cuma tumis banyak bawang putih yang dicincang halus hingga kekuningan dan kemudian masukkan cendawan eryngii dan garam secukup rasa. Selesai masak barulah saya tabur herba chervil dan gaul hingga rata.

Ok, selamat mencuba dengan herba chervil. 🙂

Limau Kasturi

Siapa sangka buah yang sekecil limau kasturi ini mempunyai khasiat yang lebih banyak daripada sebiji epal hijau iaitu antara buah-buahan yang mempunyai kadar antioksidan terbaik.

Perahan jus limau kasturi bukan saja mampu menambahkan keenakan rasa pada sesetengah masakan dan minuman. Malah jus limau kasturi apabila dicampur dengan air dan madu diminum boleh merawat batuk, demam panas, keletihan, selsema dan sakit kerongkong. Selain dari itu minum jus dari 3 biji buah limau kasturi tanpa dicampur air sebelum sarapan selama 3 hari berturut-turut dikatakan berkesan bagi menurunkan tekanan darah tinggi.

Jus limau kasturi mengandungi Floretin-G yang amat baik untuk kesihatan badan. Ia juga mengandungi vitexsin, yang menjadi salah satu bahan untuk merawat dan mencegah penyakit darah tinggi dan jantung.

image

Selain Floretin-G,limau kasturi juga mempunyai asid ferulik iaitu bahan antioksidan semulajadi untuk menambah baik kesihatan sistem tubuh manusia selain dapat mengurangkan kedutan pada kulit.

Hmm..rasanya yang masam tapi mempunyai banyak khasiat dan kebaikan. 🙂

Rujukan:
Berita Harian 1 Jun 2013
Ong Hean Chooi: Rempah-ratus, khasiat makanan & ubatan.