Sudah tiba masanya…

Tanaman saya dituai lagi, ♥

Pokok cekur manis yang terdapat di rumah saya dah tinggi melepasi tembok. Walaupun dah tua, masih berjasa pada tuannya, hehe…

Pokok cekur manis biasanya ditanam menggunakan keratan dahan. Tanam dengan bijinya pun boleh juga tapi rasanya lamalah kena menunggu ia membesar. Perlu penjagaan yang rapi pada pemulaan penanaman. Kena rajin siram dan taruh baja barulah ia akan tumbuh subur.

Daun muda cekur manis boleh dimakan mentah tapi ada yang kata tak sedap. Saya tak pernah cuba tapi kalau celur makan dengan sambal memang sedap. Sayur ini enak dibuat masak lemak dan masak bening. Kalau nak goreng pun boleh juga.

Air rebusan cekur manis diminum untuk mengubati demam panas, merawat pening, merawat penyakit kardiovaskular (jantung dan saluran darah), pitam dan tekanan darah tinggi. Ada juga mengatakan boleh merawat tekanan darah rendah.

Ujian klinikal membuktikan, mengamal pemakanan daun cekur manis secara rutin akan meningkatkan kecergasan, kualiti dan kuantiti sperma kaum lelaki dan meningkat pengeluaran serta kualiti air susu ibu.

Namun begitu ada juga kesan negatifnya: Sayur cekur manis tak boleh dimakan terlalu kerap sebab sebatian glukokortinoid yang terdapat dalam cekur manis ini menghalang penyerapan kalsium dan fosforus. Jika keadaan ini terjadi badan akan mengalami kekurangan kalsium dan fosforus. Mmm…boleh mendatangkan masalah kesihatan tulang lah pulak..

Teringat saya pada pesanan orang tua-tua, kalau ada sakit urat, tangan kaki selalu rasa sejuk dan rasa ada angin dalam badan eloklah jangan dimakan sayur ini sebab nanti keadaan badan akan menjadi lebih teruk. 😦

POKOK CEKUR MANIS
image

image

image
Saya masak bening cekur manis dan campur isi putih buah tembikai serta ubi keledek, mmm… sedap!

Rujukan:
Ong Hean Chooi: Sayuran
Khasiat makanan & Ubatan

Siti Fauziah yusof: Ulaman di Sekeliling Anda

Nurul Asyikin: Data Nutrien
Sayuran dan Khasiatnya.

Buah Perah

Baru-baru ini saya beli buah perah dengan harga RM4. Banyaknya seperti di dalam gambar. Saya beli yang telah direbus. Rasanya macam makan buah berangan, lemak tapi pahit sedikit. Sedap juga. Sebenarnya ini adalah kali pertama saya mengetahui, tengok dan makan buah perah. Rupanya ia adalah buah yang agak popular juga di negeri Pahang. Buah perah jeruk dan perah rebus biasanya dihidangkan semasa minum petang.

Pokok perah adalah pokok hutan. Ia banyak didapati di kawasan hutan seperti di Ulu tembeling dan Taman Negara.

Kulit buah ini nipis dan keras. Ia perlu dijeruk atau direndam di dalam air untuk menghilangkan getahnya.

BUAH PERAH
image

Berwaspada, buah ini jika dimakan mentah secara berlebihan boleh menyebabkan mabuk atau pening kepala.

Agaknya buah perah ini kalau dimasak lemak mungkin sedap..

Hydrangea

Pokok hydrangea juga dikenali sebagai pokok bunga tiga bulan atau pokok bunga Siti Zubaidah. Ia berasal dari negara Jepun. Warna bunganya bergantung kepada pH tanah. Jika tanah lebih berasid, bunganya akan bewarna biru. Manakala tanah berakali akan menghasilkan bunga merah muda.

Tapi tahukah anda bahawa akarnya boleh memberi manfaat pada kesihatan badan?.

Akar hydrangea adalah herba yang telah lama digunakan untuk merawat saluran kencing dan masalah prostat. Ia juga membantu mencegah pembentukan batu karang dan membantu melegakan kesakitan di pundi kencing, urethra dan ginjal. Akar hydrangea sangat diuretik oleh itu ia membantu meningkatkan aliran air kencing.

HYDRANGEA
image

image

image

image

image

Teh hydrangea adalah minuman yang popular di negara Jepun. Ia dikenali sebagai amacha yang bermaksud teh manis. Teh herba ini dibuat dari daun hydrangea yang ditapai. Teh ini mengandungi tannin. Ia beratus kali lebih manis daripada gula atau 2 kali lebih manis dari sakarin. Teh hydrangea juga tidak mengandungi kafein.

Akar hydrangea tidak digalakkan untuk kegunaan jangka panjang, semasa mengandung atau menyusu. Ia juga boleh menambah kesan pada ubat-ubatan yang diambil dan juga gula dalam darah. Penggunaan yang berlebihan boleh menyebabkan pening dan sesak dada.

Cara mengambil akar hydrangea:
Menurut Health.com
2~4 tsp akar kering direndam dalam secawan air panas selama 10~15 minit. Minum 3 kali sehari.
Walaubagaimanapun, adalah dinasihatkan anda mendapat pandangan doktor sebelum menggunakan rawatan herba ini.

Rujukan:
The Desktop Guide to Herbal Medicine
Health benefits of Hydrangea