Ikan Siakap Masak Tempoyak

Assalam..
Agak lama juga saya tak pos resipi di sini. Hari ini saya kongsi resipi ikan siakap masak tempoyak yang saya buat untuk makan tengahari semalam.

Ada kelainan sedikit masakan kali ini. Selalunya saya akan masukkan daun kesum dan kadang-kadang tu masukkan juga bunga kantan. Tapi semalam saya cuma letak daun limau purut dalam masakan ini. Kuahnya saya buat pekat sedikit. Saya juga masukkan asam gelugur kerana tempoyak saya kurang masam. Sedap rupanya bila masukkan daun limau purut. Rasanya pun lain dari biasa. Makan dengan nasi panas dan ada pula sambal dan ulam, memang naik selera 😀

Bahan-bahan:

1 ekor ikan siakap, buang sisik dan potong 3
10 biji cili padi merah atau secukup pedas
2 ulas bawang putih.
Serbuk kunyit
2 batang serai diketuk
5 helai daun limau purut di hiris halus
2 keping kecil asam gelugur (kalau tempoyak dah cukup masam tak perlulah asam gelugur)
3 sudu besar penuh tempoyak
2 cawan air

Cara:

1. Tumbuk bawang putih, cili padi dan serbuk kunyit sehingga hancur
2. Didihkan 1 1/2 cawan air dan masukkan bahan tumbuk dan serai. 
3. Masukkan ikan, asam gelugur dan kacau rata. Kecilkan api dan reneh sehingga ikan masak
4. Masukkan 1/2 cawan air ke dalam tempoyak. Kacau rata 
5. Tuangkan tempoyak ke dalam periuk ikan
6. Masukkan daun limau purut dan garam secukup rasa. Masak sehingga mendidih.

Advertisements