Ayam Goreng Dakanyit

Salam semua

Pejam celik..pejam celik, kita dah pun berada dipenghujung tahun. Cepat betul masa berlalu. Panjang umur, inshaaAllah, kita akan menyambut tahun 2016. Maka bertambah lah usia kita.. semoga tahun yang akan datang lebih baik dan bersinar dalam kehidupan kita semua…
Malam ini saya kongsi resipi ayam goreng Dakanyit iaitu ayam goreng daun kari kunyit yang sedap 😀

Selamat mencuba

image

Bahan-bahan:

1 ekor ayam kampung, dipotong lapan. Buang kulit. Digaul garam kunyit
10 ulas bawang putih di ketuk dan dicincang
Cili padi dihiris nipis. Saya masuk banyak cili padi
10 tangkai daun kari diraut
2 helai daun kunyit (daun besar/lebar) dihiris sederhana nipis
2 biji tomato. Belah dua dan hiris nipis
Minyak yang banyak untuk menggoreng.

Cara:

1. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga masak dan garing. Angkat dan toskan
2. Kemudian masukkan bawang putih, cili padi, daun kunyit dan daun kari ke dalam minyak goreng ayam. Goreng sehingga bawang putih kelihatan garing.
3. Masukkan tomato dan goreng sehingga tomato sedikit kering
4. Masukkan ayam dan kacau rata dan masak sehingga ayam kelihatan sebati dengan rencahnya.
5. Tuang ke dalam tapis. Toskan.

Masak Lemak Kasih

Salam semua…
Untuk makan malam, saya buat masak lemak jantung pisang dengan ikan senangin. Tapi kali ini saya goreng jantung pisang dan ikan senangin terlebih dulu sebelum dibuat masak lemak.

Resipi ini mudah saja dan ringkas. Jom lihat cara menyediakan hidangan ini..

image

Bahan-bahan:

1 ekor ikan senangin. Dipotong tiga
4 biji jantung pisang berangan saiz kecil
Cili padi di tumbuk hancur
Serbuk kunyit
2 batang serai
1 cawan air
1/2 cawan santan kotak
Minyak yang banyak untuk goreng
Garam

Cara:
1. Ambil bahagian lembut jantung pisang dan belah empat. Gaul garam kunyit
2. Panaskan minyak dan goreng jantung pisang sehingga garing
3. Goreng ikan senangin (tanpa gaul garam kunyit) sehingga masak dan sedikit garing
4. Satukan 1 cawan air, cili padi tumbuk, serbuk kunyit dan serai ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih
5. Masukkkan jantung pisang, ikan, beberapa biji cili padi merah dan santan. Kacau sehingga rata. Masukkan garam secukup rasa. Mendidih, padam api.

Sotong Kurri

Salam semua..

Masakan hari ini ialah Sotong Kurri.
Sotong Kurma Kari, hehe..
Saya campur rempah kurma dan kari untuk masak hidangan ini…
Jom tengok resipi

image

Bahan-bahan:

6 ekor sotong saiz sederhana besar, buang kulit dan kerat tiga
1 1/2 sudu besar rempah kurma
1 1/2 sudu besar rempah kari ikan
4 ulas bawang putih dicincang
5 tangkai cili kering dihiris dan buang biji
Cili padi diketuk
3 tangkai daun kari
1 labu bawang besar dibelah dua dan hiris nipis
1/2 cawan minyak

Cara:

1. Satukan rempah kari dan kurma. Masukkan sedikit air, kacau jadikan pes
2. Panaskan minyak, masuk bawang putih dan bawang besar dan goreng sehingga bawang sedikit garing
3. Masukkan rempah, daun kari, cili kering, cili padi dan masak sehingga terbit minyak dan rempah kelihatan sedikit gelap.
4. Masukkan sotong. Kacau sehingga masak
5. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa
6. Sebelum hidang, senduk buang lebihan minyak