Asam Rebus Ikan Kerisi

Salam semua…
Hari ni saya kongsi resipi masakan asam rebus ikan kerisi. Selalunya bila saya masak asam rebus, saya masukkan daun kesum dan kadang kala ada juga saya masukkan bunga kantan. Tapi untuk kali ini, saya nak memberi sedikit kelainan pada rasa masakan, saya masukkan daun limau purut. Saya suka dan sering guna daun limau purut dalam kebanyakkan resipi saya. Bagi saya daun ini mampu membuat masakan menjadi sedap selain dari memberi bau yang wangi.
Masakan asam rebus boleh menjadi pembuka selera. Ramai gemar menggandingkan masakan asam rebus ini dengan ikan goreng dan sambal. Kami pula suka makan dengan sambal garam atau cili kicap, ada juga suka makan dengan sambal belacan.
Resipi ini mudah. Tiada bahan yang perlu ditumbuk, cuma hiris dan campak- campak ke dalam periuk dan rebus!
Mudah kan? 🙂

image

Bahan-bahan:

2 ekor ikan kerisi. Dipotong dua setiap seekor
2 1/2 cawan air
Serbuk kunyit
4 ulas bawang putih dihiris
2 batang serai diketuk
6cm lengkuas dihiris
5 helai daun limau purut. Urat daun dibuang
15 cili padi dihiris. (Terpulang mengikut citarasa pedas)
8 keping (kecil) asam gelugor. (Terpulang mengikut citarasa masam)
1 1/2 sudu teh serbuk ikan bilis maggi
Garam secukup rasa

Cara:

1) Masukkan air, serbuk kunyit, serai, lengkuas, bawang putih, cili padi dan asam gelugor ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih
2) Masukkan ikan kerisi, serbuk ikan bilis dan daun limau purut. Bila mendidih, kecilkan api
3) Reneh selama 15 minit dan akhir sekali masukkan garam secukup rasa

Asam Rebus Nenas Ikan Siakap

Assalamualaikum

Masakan asam rebus nenas dengan ikan siakap..hmmm sememangnya membuka selera. Lebih-lebih lagi bila dihidangankan bersama ulam dan sambal, sedapnya!

Menu ini sesuai sangat bagi mereka yang ingin menjaga kesihatan.

image

Bahan-bahan:

1) 1 ekor ikan siakap (300g). Buang sisik dan dipotong 3
2) 2 cawan air
3) 2 keping asam gelugur (terpulang citarasa masam)
4) 350g (1/2 biji) nenas manis/nenas Sarawak dihiris sederhana besar/ikut citarasa
5) 1 sudu teh gula melaka
6) Garam secukup rasa

Bahan: kisar lumat

1) 5 biji cili merah. Biji dibuang
2) 5 biji cili padi (terpulang citarasa pedas)
3) 2 batang serai
4) 1/2 sudu teh serbuk kunyit
5) 130g bawang merah

Cara:

1) Masukkan bahan kisar dan air ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih
2) Kecilkan api, masukkan nenas dan asam gelugur. Masak selama 5 minit
3) Masukkan ikan siakap dan garam secukup rasa. Rebus sehingga ikan masak

Selamat mencuba 🙂

Masakan Asam Rebus Bawal Putih

Bagi sesiapa yang nak kurangkan makan masakan mengoreng, demi untuk menjaga kesihatan bolehlah cuba resipi ni. 🙂

image

image

Bahan-bahannya:

1) 3 ekor bawal putih
2) 4 cawan air
3) 5 keping asam keping, kalau kurang masam lebihkan asam keping.
4) 2″ lengkuas dihiris
5) 1 kuntum bunga kantan
6) Daun kesom
7) Cili padi di hiris dan garam secukup rasa.

Bila air dalam periuk dah mendidih, masukkan semua bahan di atas. Dah masak bolehlah dihidang, hmm… menyelerakan

Ok, selamat menjamu selera 🙂