Rendang Pedas Untuk Juadah Aidilfitri

Assalamualaikum

Raya baru-baru ini, saya masak dua jenis lauk iaitu rendang pedas dan daging kerutuk. Resipi asal rendang pedas ini adalah dari ibu mertua saya, Puan Sri Hajah Radziah bt Hj. Yaakob.

Saya sajikan lauk ini bersama ketupat pulut, lemang dan nasi himpit. Memang best! 😀

image

image

Bahan-bahan:

1 kilo daging batang pinang/lembut dipotong kiub saiz sederhana
1 kilo paru direbus sehingga masak, bila sudah sejuk, dipotong kiub saiz sederhana
1 kilo santan segar
2 sudu besar kerisik
Gula kabung/merah secukup rasa
Garam secukup rasa
1 helai daun kunyit di carik, batang keras daun dibuang
5 helai daun limau purut, urat daun dibuang.

Bahan kisar:
8 batang serai
7cm lengkuas
1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu besar serbuk ketumbar
40 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dengan air panas selama 5 minit (cili kering ini jenis kurang pedas)
5 ulas bawang putih
20 ulas bawang merah
5 cm halia
1 1/2 cawan air

Cara:
Masukkan bahan kisar, daging, paru dan santan ke dalam kuali. Kacau sehingga rata dan masak di atas api sederhana
Bila rendang hampir kering, masukkan kerisik, daun kunyit, daun limau purut, gula dan garam.
Kecilkan api dan masak rendang pedas sehingga kering. Kacau selalu.

Daging Tomato Merah

Assalamualaikum.

Harap anda semua dalam keadaan baik dan sihat.
Resipi untuk hari ini adalah daging tomato merah.

Selamat mencuba 🙂

image

Bahan-bahan:

300g daging lembut/batang pinang dihiris nipis
1/4 cawan minyak
1 labu bawang besar potong kiub
2 ulas bawang putih dihiris nipis
1/3 cawan santan
1/3 cawan air
1 sudu besar tomato puree
Garam secukup rasa

Bahan kisar: lumat
3 biji buah tomato
8 ulas bawang merah
4 biji buah keras
8 biji cili padi (terpulang citarasa pedas)
1/2 sudu teh serbuk jintan manis
1/2 sudu teh serbuk jintan putih
1/2 sudu teh serbuk lada putih
1/3 sudu teh serbuk kunyit
3cm halia
1/4 cawan air

Cara:

1) Gaulkan daging bersama bahan kisar dan perap selama 1 jam
2) Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih sehingga kuning. Kemudian masukkan daging yang telah diperap
3) Masak daging sehingga mendidih. Kacau rata.
4) Masukkan santan dan air. Bila sudah mendidih, kacau rata dan kecilkan api. Reneh sehingga kuah pekat atau kering, terpulang pada citarasa.
5) Masukkan tomato puree dan garam secukup rasa. Kacau sehingga sebati.

Daging Serai Rosemary

Assalamualaikum..

Tinggal beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut ramadan. Bulan mulia yang penuh keberkatan yang kita semua nantikan dengan satu keazaman untuk memperbaiki dan mensucikan diri. Semoga kita semua dikurniakan Allah kesihatan yang baik agar kita dapat melaksanakan kewajipan puasa dengan cemerlang sekali..

Cakap pasal puasa ni, saya nak kongsi satu resipi yang sesuai untuk sahur dan berbuka iaitu daging serai rosemary…

Jom cuba 😀

image

Bahan-bahan:

350g daging lembut/batang pinang
4 ulas bawang putih ditumbuk hancur
3/4 sudu teh/tsp rosemary ditumbuk hancur
3 batang serai dipotong 2cm dan diketuk
1/2 sudu teh/tsp serbuk lada putih
1 labu bawang besar dibelah dua dan dihiris nipis
1/2 cawan minyak
1 sudu besar/tbsp tepung beras
8 biji cili padi dihiris nipis/ terpulang pada citarasa pedas

Cara:

1) Gaul daging, bawang putih, rosemary, serai dan serbuk lada putih sehingga rata. Perap selama 30 minit
2) Panaskan 1/2 cawan minyak dan goreng bawang sehingga kuning.
3) Gaul daging dan tepung beras sehingga rata
4) Masukkan daging dan goreng sehingga garing. Toskan daging dalam penapis
5) Akhir sekali gaul daging dan cili padi sehingga rata.

Yummy!