Kerabu Sotong

Assalamualaikum.
Apa khabar? Hari ni dah genap 2 minggu kita berpuasa.. cepatkan masa berlalu? Rasa macam baru saja kita mula berpuasa dan tak lama lagi kita akan menyambut Aidil Fitri pula. Tentu ada diantara kita dah mula sibuk membuat persiapan Raya.. saya pun tak terkecuali 😀

Anyway, hari ni plan nak masak apa untuk iftar? Semalam saya buat kerabu sotong sebagai satu juadah pembuka selera….

Jom tengok resipi.

image

Bahan-bahan:

4 kacang botor
3 kacang panjang
8 ekor sotong, dibuang kulit
4 ulas bawang merah dihiris nipis
4 helai daun muda limau purut, dibuang urat dan dihiris nipis
2 batang serai yang segar
5 biji cili padi (terpulang)
Jus 1/2 biji lemon (terpulang)
Garam secukup rasa

Cara:

1) Kacang botor dan kacang panjang dicelur sekejap dan kemudian segera rendam dengan air paip supaya suhu panas sayur yang dicelur turun mendadak.
2) Kacang botor dihiris nipis dan kacang panjang juga dipotong kecil
3) Sotong dicelur sekejap dan dihiris
4) Tumbuk serai dan cili padi sehingga lumat
5) Masukkan bahan yang ditumbuk, kacang botor, kacang panjang, sotong, bawang merah, garam, daun limau purut dan jus lemon ke dalam mangkuk. Gaul sehingga rata.
6) Biarkan 30 minit sebelum dihidang

Nasi Saderi

Assalamualaikum

Nasi Saderi ini sesuai disajikan untuk berbuka puasa. Masaknya mudah dan simple serta enak dimakan dengan pelbagai jenis masakan lauk pauk daging ataupun ayam.

Jom cuba
image

Bahan-bahan:
3 pot (450g) beras basmati
2 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar mentega
6 kuntum bunga cengkih
3cm kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
3 ulas bawang merah dihiris nipis
2 ulas bawang putih dihiris nipis
4 cm halia dihiris halus
1/2 cawan susu sejat (Ideal Milk)
Air secukupnya
1 pokok saderi (besar) dipotong 5cm
Garam secukup rasa

Cara:

1) Cuci beras dan toskan. Masukkan ke dalam rice cooker
2) Panaskan minyak sapi dahulu dan masukkan mentega. Tumis kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga, bawang putih dan bawang merah sehingga bawang kekuningan
3) Masukkan susu sejat dan air secukupnya dan masak sehingga mendidih
4) Masukkan daun saderi dan garam. Kacau rata dan kemudian tuang ke dalam rice cooker. Setelah masak, gemburkan nasi.

Acar Rampai

Assalamualaikum
Acar rampai ini saya buat untuk digadingkan bersama ayam kerutuk yang telah saya kongsikan resipinya semalam. Masakan ini kami makan dengan nasi saderi. Nanti saya poskan resipi nasi saderi, inshaaAllah.
Acar ini sedap juga dimakan dengan nasi tomato dan nasi biryani. Rasanya yang sedikit pedas dan masam manis serta rangup bila dikunyah membuat saya berselera menikmati hidangan ini..

image

Bahan A:

1/2 biji timun dibelah dua. Bahagian tengah dibuang. Potong seperti batang mancis dan sedikit lebar
1/2 batang lobak merah dipotong seperti batang mancis
2 cili hijau dibuang biji dan dihiris memanjang dan nipis
2 cili merah dibuang biji dan dihiris memanjang dan nipis
6 ulas bawang merah dibelah dua
4 ulas bawang putih dibelah dua
3cm halia dihiris halus
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh gula
1/2 sudu teh serbuk kunyit

Bahan B:
8 tangkai cili kering
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 cawan air

Bahan C:
1 sudu teh biji sawi
3 ulas bawang merah dihiris nipis
1 sudu besar kismis
Minyak untuk menumis

Bahan D:
1/3 cawan cuka beras perang
4 sudu besar air
1 sudu teh gula
Garam secukup rasa

Cara:

1) Satukan semua bahan A ke dalam mangkuk. Gaul rata dan biarkan selama 1 jam. Toskan supaya sejat air
2) Kisar cili kering, 1/2 cawan air dan serbuk kunyit sehingga lumat
3) Panaskan minyak dan goreng biji sawi sekejap dan toskan. Kemudian goreng bawang merah sehingga kuning. Masukkan cili kering kisar dan masak sehingga terbit minyak
4) Masukkan cuka, gula, garam dan air. Kecilkan api dan masak sehingga mendidih. Akhir sekali masukkan biji sawi, kismis dan semua bahan A. Masak sekejap sambil kacau sehingga rata.