Sudah tiba masanya…

Tanaman saya dituai lagi, ♥

Pokok cekur manis yang terdapat di rumah saya dah tinggi melepasi tembok. Walaupun dah tua, masih berjasa pada tuannya, hehe…

Pokok cekur manis biasanya ditanam menggunakan keratan dahan. Tanam dengan bijinya pun boleh juga tapi rasanya lamalah kena menunggu ia membesar. Perlu penjagaan yang rapi pada pemulaan penanaman. Kena rajin siram dan taruh baja barulah ia akan tumbuh subur.

Daun muda cekur manis boleh dimakan mentah tapi ada yang kata tak sedap. Saya tak pernah cuba tapi kalau celur makan dengan sambal memang sedap. Sayur ini enak dibuat masak lemak dan masak bening. Kalau nak goreng pun boleh juga.

Air rebusan cekur manis diminum untuk mengubati demam panas, merawat pening, merawat penyakit kardiovaskular (jantung dan saluran darah), pitam dan tekanan darah tinggi. Ada juga mengatakan boleh merawat tekanan darah rendah.

Ujian klinikal membuktikan, mengamal pemakanan daun cekur manis secara rutin akan meningkatkan kecergasan, kualiti dan kuantiti sperma kaum lelaki dan meningkat pengeluaran serta kualiti air susu ibu.

Namun begitu ada juga kesan negatifnya: Sayur cekur manis tak boleh dimakan terlalu kerap sebab sebatian glukokortinoid yang terdapat dalam cekur manis ini menghalang penyerapan kalsium dan fosforus. Jika keadaan ini terjadi badan akan mengalami kekurangan kalsium dan fosforus. Mmm…boleh mendatangkan masalah kesihatan tulang lah pulak..

Teringat saya pada pesanan orang tua-tua, kalau ada sakit urat, tangan kaki selalu rasa sejuk dan rasa ada angin dalam badan eloklah jangan dimakan sayur ini sebab nanti keadaan badan akan menjadi lebih teruk. 😦

POKOK CEKUR MANIS
image

image

image
Saya masak bening cekur manis dan campur isi putih buah tembikai serta ubi keledek, mmm… sedap!

Rujukan:
Ong Hean Chooi: Sayuran
Khasiat makanan & Ubatan

Siti Fauziah yusof: Ulaman di Sekeliling Anda

Nurul Asyikin: Data Nutrien
Sayuran dan Khasiatnya.

Dong Quai

Beribu-ribu tahun, di Negara China dan Asia, akar Dong Quai atau dikenali juga sebagai Chinese Angelica telah digunakan untuk mengekalkan kesihatan wanita. Malah, ia mendapat nama samaran sebagai “ginseng wanita”.

Dong Quai mempunyai keupayaan untuk mengimbangi hormon wanita, iaitu mengurangkan paras estrogen jika terlalu tinggi dan boleh meningkatkannya jika terlalu rendah. Ia juga membantu membina darah dan biasanya digunakan dalam perubatan cina sebagai tonik darah.
Dong Quai mengawal kitaran haid dan mengurangkan gejala PMS. Ia juga mengembangkan saluran darah dan menggalakkan aliran haid yang sihat. Dong Quai juga adalah herba untuk menopaus kerana ia boleh membantu melegakan hot flashes dan gejala-gejala menopaus yang lain.

Disamping itu Dong Quai juga digunakan sebagai tonik untuk kardio, pernafasan dan hati. Ia boleh merawat masalah pencernaan dan ganggun penafasan. Selain itu ia juga meningkatkan kesihatan sistem imun, sistem kardiovaskular, fungsi hati dan fungsi buah pinggang.

Bagi wanita yang hamil, tidak digalakkan mengambil herba dong quai dan juga sekiranya mengambil sebarang ubat, dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil herba ini.

AKAR DONG QUAI
image

Masa terbaik untuk mengambil herba adalah 30 minit sebelum makan.
Cara penyediaan:
1) Reneh 1 menimbun sudu teh (1 heaped tsp) dong quai kering di dalam 1 cawan air selama 20 minit.
2) Dos: 1/2 cawan 3 kali sehari.

Hmmm.. penawar untuk wanita 🙂

Rujukan:
Barthram’s Encyclopedia of Herbal Medicine

Herbal Remedies, Andrew Chevallier

Herbal Tonic Therapies, Daniel B. Mowrey, Ph.d

Khasiat buah kiwi

Buah kiwi ini kalau dapat yang manis memang sangat sedap dan bila makan sebiji tidak akan rasa puas, macam nak makan banyak, hehe parahlah budget… bagi pandangan saya buah ni agak mahal. Ramai yang suka buah kiwi dimasukkan ke dalam salad atau diletakkan sebagai perhiasan diatas kek, memang cantik.

Buah kiwi bukanlah menjadi pilihan apabila saya nak beli buah-buahan. Walaubagaimana pun setelah saya baca mengenai khasiat buah ini, kini saya rasa kiwi perlu dimasukkan dalam senarai buah yang baik untuk dibeli selalu…

image
(Dah habis makan buah ni, baru teringat tak ambil gambar isinya, :D)

Kajian pemakanan yang diterbitkan dalam peer-reviewed journal nutrition today, mendapati disamping faedah antioksidan, buah kiwi juga boleh membantu pencernaan dan membantu mengekalkan kulit yang sihat.

Buah kiwi boleh memberi kelegaan kepada masalah ketidakhadaman makanan. Sihat sistem penghadaman sihatlah fizikal dan mental. ini kerana kesihatan atau penyakit banyaknya bermula dari usus.

Buah kiwi kaya dengan vitamin C, E dan niasin, kalium dan serat, menjadi ia sangat baik untuk selsema dan menurunkan tekanan darah tinggi. Sering mengambil buah kiwi boleh mengurangkan trigliserida dalam darah, mengelakkan pembekuan darah dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan seterusnya melindungi kesihatan kardiovaskular.

Saya baru tahu buah ini, kulitnya boleh dimakan. Tapi kena basuh betul-betul, ye lah! Bahan kimia yang ada dikulit tu mesti di singkirkan, 😀 Kulit kiwi mengandungi banyak serat dan 3 kali ganda antioksidan pulpa. Nanti nak cuba, tapi bulu-bulu halus bagaimana? Jangan gatal tekak sudahlah… dikatakan, rasanya tidaklah sedap. hehe…

Lagi satu yang menarik tentang buah kiwi ini, ia boleh melembutkan daging. Hmm… dalam peti ais banyak daging korban, ada yang keras dan liat, nanti nak pergi beli buah kiwi dan nak eksperimenlah petua ni… kalau betul-betul berkesan, bolehlah amalkan, tak payahlah guna pressure cooker atau masak berjam-jam kerana nak lembutkan daging… 😉