Asam Rebus Ikan Kerisi

Salam semua…
Hari ni saya kongsi resipi masakan asam rebus ikan kerisi. Selalunya bila saya masak asam rebus, saya masukkan daun kesum dan kadang kala ada juga saya masukkan bunga kantan. Tapi untuk kali ini, saya nak memberi sedikit kelainan pada rasa masakan, saya masukkan daun limau purut. Saya suka dan sering guna daun limau purut dalam kebanyakkan resipi saya. Bagi saya daun ini mampu membuat masakan menjadi sedap selain dari memberi bau yang wangi.
Masakan asam rebus boleh menjadi pembuka selera. Ramai gemar menggandingkan masakan asam rebus ini dengan ikan goreng dan sambal. Kami pula suka makan dengan sambal garam atau cili kicap, ada juga suka makan dengan sambal belacan.
Resipi ini mudah. Tiada bahan yang perlu ditumbuk, cuma hiris dan campak- campak ke dalam periuk dan rebus!
Mudah kan? 🙂

image

Bahan-bahan:

2 ekor ikan kerisi. Dipotong dua setiap seekor
2 1/2 cawan air
Serbuk kunyit
4 ulas bawang putih dihiris
2 batang serai diketuk
6cm lengkuas dihiris
5 helai daun limau purut. Urat daun dibuang
15 cili padi dihiris. (Terpulang mengikut citarasa pedas)
8 keping (kecil) asam gelugor. (Terpulang mengikut citarasa masam)
1 1/2 sudu teh serbuk ikan bilis maggi
Garam secukup rasa

Cara:

1) Masukkan air, serbuk kunyit, serai, lengkuas, bawang putih, cili padi dan asam gelugor ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih
2) Masukkan ikan kerisi, serbuk ikan bilis dan daun limau purut. Bila mendidih, kecilkan api
3) Reneh selama 15 minit dan akhir sekali masukkan garam secukup rasa

Advertisements

Halia Bawang Pembuka Selera

Hari ini saya kongsi resipi yang amat mudah dibuat iaitu halia bawang goreng sebagai pembuka selera.

Bagi saya lah, halia bawang ini sedap makan dengan daging goreng dan cili kicap. Tak payah ada lauk lain, tu je dah cukup menyelerakan… 😀

image

Bahan-bahan:

1/2 cawan halia muda yang dimayang
2 biji bawang besar dihiris sederhana nipis
6 ulas bawang putih dihiris sederhana nipis
4 tangkai daun kari muda diraut
Sedikit serbuk kasar lada hitam
Garam
Minyak

Cara:

1) Panaskan minyak dan masukkan bawang besar, halia dan bawang putih
2) Kacau rata dan goreng sehingga bawang kelihatan kekuningan
3) Masukkan daun kari dan goreng sehingga daun kari kelihatan kering
4) Tuang ke dalam tapis dan toskan
5) Tabur garam dan serbuk kasar lada hitam dan kacau rata.

Kerabu Sotong

Assalamualaikum.
Apa khabar? Hari ni dah genap 2 minggu kita berpuasa.. cepatkan masa berlalu? Rasa macam baru saja kita mula berpuasa dan tak lama lagi kita akan menyambut Aidil Fitri pula. Tentu ada diantara kita dah mula sibuk membuat persiapan Raya.. saya pun tak terkecuali 😀

Anyway, hari ni plan nak masak apa untuk iftar? Semalam saya buat kerabu sotong sebagai satu juadah pembuka selera….

Jom tengok resipi.

image

Bahan-bahan:

4 kacang botor
3 kacang panjang
8 ekor sotong, dibuang kulit
4 ulas bawang merah dihiris nipis
4 helai daun muda limau purut, dibuang urat dan dihiris nipis
2 batang serai yang segar
5 biji cili padi (terpulang)
Jus 1/2 biji lemon (terpulang)
Garam secukup rasa

Cara:

1) Kacang botor dan kacang panjang dicelur sekejap dan kemudian segera rendam dengan air paip supaya suhu panas sayur yang dicelur turun mendadak.
2) Kacang botor dihiris nipis dan kacang panjang juga dipotong kecil
3) Sotong dicelur sekejap dan dihiris
4) Tumbuk serai dan cili padi sehingga lumat
5) Masukkan bahan yang ditumbuk, kacang botor, kacang panjang, sotong, bawang merah, garam, daun limau purut dan jus lemon ke dalam mangkuk. Gaul sehingga rata.
6) Biarkan 30 minit sebelum dihidang