Pengat Pisang Tanduk & Oat

Minggu lepas awal pagi lagi saya telah pergi ke pasar tani. Selain beli ikan dan daging serta barang keperluan yang lain saya juga turut beli 2 biji pisang tanduk. Esok harinya saya goreng sebiji. Tetapi yang satu lagi tu tersadai beberapa hari di atas meja dapur sehingga warna kulit pisang pun dah berubah hehe.. Tapi kan, biasanya pisang tanduk ni tidak seperti pisang lain, ia lambat rosak. 

Sambil terpandang pada pisang itu terasa teringin pula nak makan pengat. Jadi petang tadi, saya pun buatlah pengat pisang. Selalunya kalau buat pengat pisang, saya akan campurkan sedikit sago tapi kali ini saya guna oat.

Habis licin! Tak sangka pula rasanya sedap … tambahan pula oat kaya dengan fibre dan ianya baik untuk kesihatan.

Bahan-bahan:

1 biji pisang tanduk
3 sudu besar penuh oat segera (instant oatmeal)
1 1/2 sudu besar gula perang / terpulang pada citarasa
1/2 cawan santan kotak (saya guna kara)
2 1/2 cawan air
Garam secukup rasa

Cara:

1. Pisang dipotong mengikut citarasa
2. Masukkan air, gula dan pisang ke dalam periuk. Masak sehingga pisang lembut
3. Masukkan oats dan kacau rata.
4. Masukkan santan dan garam secukup rasa. Bila mendidih padam api.