Sambal Tempoyak

Pernah makan sambal tempoyak yang digaul dengan daun ketumbar dan jeruk bawang? Kalau belum pernah cubalah resipi ini, mungkin anda akan suka dengan rasanya..

♥ it! 🙂

SAMBAL TEMPOYAK
image

Bahan-bahan:

1) 1/2 mangkuk daun ketumbar
2) 2 tbsp tempoyak
3) 3 biji jeruk bawang merah dihiris nipis
4) Cili merah dan cili padi ditumbuk/kisar – jangan lumat sangat. Banyak-terpulang citarasa pedas.
5) Garam

Gaul semua bahan sehingga rata.

Sedap! 🙂

Buah Cepu

Buah Cepu dikenali juga dengan beberapa nama lain seperti cerapu, mencepu, kecupu dan copu. Agak sukar nak dapat buah ini sebab ia bermusim. Rasanya sekarang ni dah tak ramai orang tanam pokok cepu.

Bila pandang pada buah cepu yang ranum, ia seakan buah pisang kaki tapi rasanya amat beza sekali. Ada juga rasa sedikit seperti buah manggis. Buah ini tidaklah besar, lebih kurang saiz buah limau nipis.
Buah cepu rasanya masam, sedikit manis dan bergetah. Nak makan isinya, kena picit buahnya, buang getahnya dulu… kalau tidak, melekat getah dibibir. Saya lebih suka buah cepu yang ranum dimasukkan kedalam sambal dan yang muda pula menambah rasa enak pada lauk pauk masak lemak.

BUAH CEPU
image

Buah muda biasanya dimasak dengan ikan sungai. Tapi bagi saya, sedap masukkan kedalam masak lemak daging.

MASAK LEMAK TULSI CEPU
image

Bahan:
1) 1 mangkuk besar daun tulsi
2) Cili padi & serbuk kunyit ditumbuk hancur
3) 1 mangkuk kecil, daging yang dihiris nipis
4) 3 biji buah cepu muda, dihiris
5) Santan pekat. Saya guna 3/4 santan kotak kara saiz kecil.

cara:
1) Didihkan sedikit air dan masukkan bahan yang ditumbuk dan daging.
2) Kemudian masukkan daun tulsi dan buah cepu. Akhir sekali masukkan santan dan garam secukup rasa.

Mungkin ramai tidak suka dengan daun tulsi kerana baunya yang sangat kuat. Boleh tukar dengan daun lain atau boleh juga masak ikan sungai dengan buah cepu saja. Saya suka kuah masak lemak yang pekat.. 🙂

SAMBAL CEPU
image

Bahan:
1) 9 biji cili merah dibuang biji
2) 7 biji cili padi
3) 3 biji buah cepu ranum dibelah buang biji. Kulit buah cepu tidak dibuang dan kemudian isi dan kulit dihiris nipis.

Tumbuk cili atau kisar hingga hancur dan kemudian gaul dengan buah cepu. Garam secukup rasa.

Suami saya suka sambal cepu digaul dengan durian segar. Mmm… sedap!

Sambal Herba

Bila saya tanya pada suami, sedap tak sambal herba ini?
Katanya, “oookay”
Anak-anak kata, “kuat betul terasa herbanya”

Pada saya pula, sedap dan menyelerakan haha….
.
.
.
Hanya saya seorang je yang suka sambal herba ini, hehehe…

image

SAMBAL HERBA
image

Bahan-bahan:

1) 1 mangkuk besar daun muda belinjau yg telah dihiris
2) 1 mangkuk kecil daun kaduk yang telah dihiris
3) 1 mangkuk kecil daun putat yang telah dihiris
4) 2 labu bawang besar dipotong kiub
5) 25 tangkai cili kering dibuang biji dan dikisar. Cili kering ini kurang pedas.
6) 4 ulas bawang putih di cincang
7) air asam jawa
8) gula molasses & garam secukup rasa.

Caranya:
1) Tumis bawang putih dan bawang besar sehingga kekuningan.
2) Masukkan cili kering yang telah dikisar dan masak sehingga terbit minyak dan cili kelihatan gelap dan pekat
3) Masukkan gula, garam dan sedikit air asam jawa
4) Masukkan daun2 ulam, besarkan api dan kacau sehingga nampak pekat.

Daun kaduk mengeluarkan bau dan rasa herba yang kuat bila dimasak lama. Jadi kalau tak suka boleh kurangkan ulam ini ke dalam sambal atau ganti dengan ulam lain. Tapi bagi saya yang suka daun kaduk, masakan ini memang sedap.

Suka sambal herba ini bila dihidang dengan ikan masin.