Bagaimanakah hendak memastikan atau membina corak pemakanan yang baik dalam diri anak-anak dari kecil supaya ia kekal bersama mereka sehingga dewasa? Ramai ibu bapa cuba untuk memupuk tabiat makan yang sihat pada anak-anak, namun mereka sering berhadapan dengan kerenah anak-anak. Dalam banyak keadaan anak-anak kecil ini akan lantang menyatakan “Saya tidak suka” tanpa cuba untuk merasakan makanan tersebut. Jadi bagaimanakah cara terbaik bila kita berhadapan dengan masalah sebegini? Saya dapati ia bukanlah satu perkara yang mudah. Namun begitu ia bukanlah satu yang mustahil untuk dilakukan, cuma perlu banyak kesabaran..Bayangkan, bila kita jelaskan kepada anak-anak kecil, makanan ini baik dan makanan itu tidak untuk kesihatan mereka, sudah tentu sukar bagi kita untuk membuat mereka faham.
Banyak perkara yang boleh diajar hanya melalui teladan.Mulakan anak-anak makan yang betul dari awal-awal lagi. Pilihan makanan boleh di bentuk oleh seorang ibu. Jika seorang ibu tidak suka sayur-sayuran, anak-anak akan berlajar tidak suka pada makanan itu. Biasanya anak-anak akan tiru corak pemakanan kedua ibu bapa.
Ibu bapa perlu memastikan pemakanan sihat untuk anak-anak daripada semua peringkat umur, disamping perlu mengetahui atau berlajar psikologi untuk mendapatkan anak-anak untuk makan sihat. Kadang-kadang kanak-kanak mungkin mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan sesuatu makanan. Diet kanak-kanak yang kaya dengan nutrien yang penuh dengan buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai skor IQ yang lebih tinggi daripada kanak-kanak yang makan makanan yang diproses penuh dengan lemak dan gula.Anak-anak perlu diajar bagi mengurangkan makanan ringan yang boleh memudharat kesihatan mereka dan sebagai alternatif gantikan dengan snek yang berkhasiat.
Pemakanan sihat boleh menstabilkan tenaga kanak-kanak. Kecerdasan kanak-kanak dipengaruhi oleh pilihan makanan. Adalah sangat penting memberi diet yang seimbang yang kaya dengan antioksidan untuk meningkatkan dan menajamkan daya ingatan kanak-kanak dan juga menjadi faktor yang
penting dalam menentukan bagaimana seorang kanak-kanak itu boleh berkembang dengan baik dari sudut prestasi mental dan fizikal. Terdapat makanan yang dipercayai boleh merangsangkan pertumbuhan sel-sel otak dan meningkatkan daya ingatan pada kanak-kanak. Otak adalah organ yang amat aktif. Kecerdasan otak berkaitan dengan makanan yang diambil setiap hari serta dipengaruh juga oleh kualiti dan kuantiti sesuatu makanan itu. Dengan menggalakan tabiat pemakanan yang sihat dari sekarang akan memberi kesan yang terbaik pada anak-anak untuk berkembang menjadi seorang dewasa yang sihat dan cerdas.
Ia bukan sahaja penting memberi anak-anak makanan yang boleh meningkatkan prestasi otak tetapi perlu juga mengelakkan atau mengurangkan sebanyak mungkin anak-anak daripada mengambil makanan-makanan yang boleh memudharatkan kesihatan otak seperti makanan snek yang diproses, makanan yang mengandungi pemanis, pengawet dan pewarna tiruan dan minuman kola.
Jika kita mendapati bahawa diet keluarga perlu di baik pulih, buatlah perubahan kerana ia tidak pernah terlambat untuk melakukan perubahan kepada gaya hidup sihat….