Dalca Sayur

Assalamualaikum.
Hari ini saya kongsi masakan kegemaran saya, dalca sayur 😀

Saya rasa ramai yang suka dengan masakan dalca. Biasanya kita makan dalca daging atau dalca ayam bersama nasi minyak, nasi tomato dan pelbagai jenis nasi lagi.
Tapi dalca sayur ini sedap bila makan dengan nasi putih. Lebih-lebih lagi bila saya gandingkan dengan sambal cili dan daging goreng kunyit. Sudah pasti ini akan meningkat selera makan saya hehe..
Jom tengok resipi.

image

Bahan-bahan:

2 sudu besar rempah kari ikan jenama Adabi dibancuh dengan sedikit air, kacau rata
1/3 cawan minyak
8 ulas bawang merah dihiris nipis
2 ulas bawang putih dihiris nipis
1 sudu teh rempah halba campur
1 kiub ikan bilis maggie
50g kacang dal direndam selama 2 jam
4 batang kacang panjang dipotong
2 biji kentang dibuang kulit, belah dua dan potong saiz sederhana besar
1 batang lobak merah, buang kulit dan belah dua. Potong saiz sederhana
1 terung panjang saiz kecil dibelah dua dan hiris saiz sederhana
100g kobis bunga. Dipotong saiz sederhana
1 biji buah tomato. Dibelah dua dan hiris nipis

Cara:

1) Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga kuning.
2) Masukkan halba campur dan goreng sekejap.
3) Masukkan rempah kari dan masak sehingga terbit minyak dan rempah kelihatan merah tua
4) Masukkan pati ikan bilis. Kacau rata.
5) Masukkan kacang dal dan 1 1/2 cawan air. Masak sehingga kacang dal lembut.
6) Masukkan ubi kentang.
7) Apabila ubi kentang kelihatan hampir lembut masukkan lobak merah, terung dan bunga kobis.
8) Bila kuah hampir pekat, masukkan kacang panjang, buah tomato dan garam secukup rasa. Kacau rata.
9) Reneh sehingga kuah pekat.

Advertisements

Ikan Bilis Goreng Special

Assalamualaikum
Ikan Bilis Goreng Special ini saya buat pada tiga hari yang lepas. Hanya hari ini, baru saya berkesempatan kongsi resipinya.
Saya suka masakan ini, sehinggakan masa iftar hari itu saya tidak langsung menjamah lauk lain. Sedap makan dengan nasi putih, menyelerakan. Lauk ini betul-betul menepati citarasa saya yang simple ini 😀

image

80g ikan bilis dicuci dan toskan
1 cawan minyak

Satukan semua bahan:
2 labu bawang besar dihiris nipis
2 ulas bawang putih dihiris nipis
80g lengkuas dihiris nipis
2 kuntum bunga kantan dihiris nipis
9 helai daun limau purut. Urat daun dibuang dan hiris nipis
3 batang serai dihiris menyerong
15 biji cili padi dihiris
1 sudu besar jus lemon

Cara:

1) Panaskan minyak dan goreng semua bahan yang telah disatukan sehingga bawang kelihatan garing. Tuangkan ke dalam penapis dan toskan
2) Panaskan semula minyak yang telah diguna. Goreng ikan bilis sehingga garing
3) Tuangkan ikan bilis ke dalam penapis
4) Panaskan kuali semula dan masukkan semua bahan-bahan yang telah digoreng. Kacau sehingga rata. Kecilkan api dan goreng sehingga kelihatan kering.

Bawal Putih Masak Mentega

Assalamualaikum
Ikan masak mentega atau buttered fish ini adalah kesukaan keluarga saya. Masakan ini resipinya hampir sama dengan ketam masak krim yang saya pos tempoh hari cuma saya olahkan sedikit untuk memberi sedikit kelainan pada rasa.
Bagi anda yang ingin mencuba, disini saya kongsikan resipinya.

image

Bahan-bahan:

2 ekor ikan bawal putih di kelar tengah
50g mentega
4 sudu besar minyak
8 ulas bawang putih ditumbuk lumat
1 labu bawang besar dipotong dadu
15 cili padi dihiris
5 helai daun limau purut dibuang urat
3 batang serai diketuk (2 batang yg besar)
1 biji tomato, dibelah dua dan hiris nipis
1 tin susu sejat (ideal milk – 400g)
1/2 cawan air
1 sudu besar tepung beras, campur sedikit air
Garam secukup rasa

Cara:
1) Lumur garam pada ikan dan goreng ikan seperti biasa
2) Panaskan minyak dan masukkan mentega
3) Tumis bawang putih, bawang besar dan cili padi sehingga bawang kelihatan kekuningan
4) Masukkan serai, tomato dan daun limau purut dan masak sehingga terbit bau
5) Masukkan susu, air dan garam dan masak sehingga mendidih
6) Masukkan air tepung beras dan kacau sehingga rata
7) Masukkan ikan dan kacau.