Tempe Goreng Sambal Dengan Ikan Bilis

As salam.

Untuk hidangan berbuka semalam, antara masakan yang saya sajikan ialah tempe goreng sambal dengan ikan bilis.
Saya buat agak banyak kerana permintaan anak yang suka tempe goreng sambal. Tak susah mana buatnya, mudah saja.

Tempe goreng sambal boleh tahan lama kalau dimasak sehingga kering. Sedap makan dengan nasi hangat dan kalau nak meratah pun sedap juga 😀

Jom cuba!

image

Bahan-bahan:

3 keping besar tempe dicuci & dipotong kiub kecil
1 mangkuk ikan bilis
3 labu bawang besar dipotong kiub kecil
50 tangkai cili kering dibuang biji & rendam air panas dan dikisar (cili kering ini kurang pedas)
2 keping asam gelugur
Garam
Gula
Minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng tempe sehingga garing. Toskan
2. Kemudian masukkan ikan bilis dan goreng sehingga garing. Toskan
3. Panaskan minyak secukupnya dan goreng bawang besar sehingga hampir garing.
4. Masukkan cili kisar, gula, garam & asam gelugur. Kacau sehingga rata. Kecilkan api
5. Masak cili sehingga terbit minyak dan cili kelihatan gelap
6. Masukkan tempe dan ikan bilis. Kacau sehingga rata dan goreng sekejap di atas api supaya tempe dan ikan bilis kekal rangup

Ikan Bilis Goreng Special

Assalamualaikum
Ikan Bilis Goreng Special ini saya buat pada tiga hari yang lepas. Hanya hari ini, baru saya berkesempatan kongsi resipinya.
Saya suka masakan ini, sehinggakan masa iftar hari itu saya tidak langsung menjamah lauk lain. Sedap makan dengan nasi putih, menyelerakan. Lauk ini betul-betul menepati citarasa saya yang simple ini 😀

image

80g ikan bilis dicuci dan toskan
1 cawan minyak

Satukan semua bahan:
2 labu bawang besar dihiris nipis
2 ulas bawang putih dihiris nipis
80g lengkuas dihiris nipis
2 kuntum bunga kantan dihiris nipis
9 helai daun limau purut. Urat daun dibuang dan hiris nipis
3 batang serai dihiris menyerong
15 biji cili padi dihiris
1 sudu besar jus lemon

Cara:

1) Panaskan minyak dan goreng semua bahan yang telah disatukan sehingga bawang kelihatan garing. Tuangkan ke dalam penapis dan toskan
2) Panaskan semula minyak yang telah diguna. Goreng ikan bilis sehingga garing
3) Tuangkan ikan bilis ke dalam penapis
4) Panaskan kuali semula dan masukkan semua bahan-bahan yang telah digoreng. Kacau sehingga rata. Kecilkan api dan goreng sehingga kelihatan kering.

Pembuka Selera

Assalamualaikum.
Dah lama saya teringin nak makan sambal hitam ikan bilis dan alhamdulillah hari ini tercapai juga akhirnya…
Membuat masak hitam belimbing buluh tidaklah sukar tetapi ia mengambil masa yang begitu lama. Oleh kerana itu saya cuma masak sedikit saja, maklumlah ini adalah percubaan pertama. Saya tak sangka rasanya begitu enak dan meningkat selera makan. Patutlah begitu ramai rakan-rakan di FB mengatakan sambal ini sedap!
InshaaAllah lain kali saya akan buat lagi tapi dalam kuantiti yang lebih banyak. 🙂

Jom tengok resipi

SAMBAL HITAM BILIS
image

Masak Hitam Belimbing Buluh

1) 15 biji buah belimbing buluh dibelah empat memanjang supaya bila masak belimbing cepat berair dan cepat kering.
2) 1/2 sudu teh garam atau secukup rasa
3) Gaul belimbing dan garam sehingga rata.
4) Masukkan belimbing buluh ke dalam periuk. Jangan campurkan air
5) Masak diatas api yang kecil sehingga belimbing mengeluarkan jus
6) Kacau selalu dan teruskan masak sehingga belimbing kecut, kering dan menjadi kehitaman

Sambal Hitam Bilis
1) Masakan hitam belimbing buluh
2) 100g bawang merah dihiris kasar
3) 20g ikan bilis
4) 12 biji cili padi ditumbuk sehingga hancur tapi tidak lumat
5) 6 sudu besar minyak

Cara:

1) Panaskan minyak dan tumis bawang merah sehingga kekuningan.
2) Masukkan cili padi. Goreng sekejap dan kemudian masukkan ikan bilis dan belimbing.
3) Goreng sehingga ikan bilis kelihatan kering.