Ikan Jenahak dengan halba campur masak lemak putih

Lamakan saya bercuti? hehe..

Hari ini saya masuk entri sulung untuk tahun 2017 iaitu resipi ikan jenahak dengan halba campur masak lemak putih.

Masak lemak ini saya buat beberapa hari yang lepas. Ada sedikit kelainan dari resipi-resipi saya sebelum ini. Biasanya rempah halba campur ni kita masukkan dalam kari atau gulai ikan. Tapi kali ini saya masukkan dalam masak lemak. 
Resipi ini mudah dan simple saja. Cubalah, mungkin anda akan suka.. 😀

Bahan-bahan:

2 keping ikan jenahak dipotong kiub
3 ulas bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih dihiris 
Cili padi dihiris
1 sudu teh penuh rempah halba campur
1 cawan air
2/3 cawan santan kotak kara
Serbuk kasar lada hitam
Garam secukup rasa

Cara:
Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang merah dan cili padi.
Kemudian masukkan halba campur, kacau sehingga bawang kekuningan.
Masukkan air.
Bila air mendidih, masukkan ikan dan gaul rata.
Biar di atas api sehingga ikan masak.
Akhir sekali masukkan santan, lada hitam dan garam secukup rasa.

Ikan Siakap Masak Tempoyak

Assalam..
Agak lama juga saya tak pos resipi di sini. Hari ini saya kongsi resipi ikan siakap masak tempoyak yang saya buat untuk makan tengahari semalam.

Ada kelainan sedikit masakan kali ini. Selalunya saya akan masukkan daun kesum dan kadang-kadang tu masukkan juga bunga kantan. Tapi semalam saya cuma letak daun limau purut dalam masakan ini. Kuahnya saya buat pekat sedikit. Saya juga masukkan asam gelugur kerana tempoyak saya kurang masam. Sedap rupanya bila masukkan daun limau purut. Rasanya pun lain dari biasa. Makan dengan nasi panas dan ada pula sambal dan ulam, memang naik selera 😀

Bahan-bahan:

1 ekor ikan siakap, buang sisik dan potong 3
10 biji cili padi merah atau secukup pedas
2 ulas bawang putih.
Serbuk kunyit
2 batang serai diketuk
5 helai daun limau purut di hiris halus
2 keping kecil asam gelugur (kalau tempoyak dah cukup masam tak perlulah asam gelugur)
3 sudu besar penuh tempoyak
2 cawan air

Cara:

1. Tumbuk bawang putih, cili padi dan serbuk kunyit sehingga hancur
2. Didihkan 1 1/2 cawan air dan masukkan bahan tumbuk dan serai. 
3. Masukkan ikan, asam gelugur dan kacau rata. Kecilkan api dan reneh sehingga ikan masak
4. Masukkan 1/2 cawan air ke dalam tempoyak. Kacau rata 
5. Tuangkan tempoyak ke dalam periuk ikan
6. Masukkan daun limau purut dan garam secukup rasa. Masak sehingga mendidih.

Singgang Ikan Kembung

As salam semua.
Hari ini saya share resipi singgang ikan. Biasanya saya tak letak serbuk kunyit dan daun kunyit tapi kali ni saya saja masukkan. Sedap juga! Makan dengan nasi hangat, ulam ulaman, ikan goreng dan sambal belacan ke (di rumah saya sambal cili garam) memang berselera betul…

image

SINGGANG IKAN KEMBUNG

Bahan-bahan:

1 ekor besar ikan kembung dipotong 3
3 inci lengkuas
4 ulas bawang putih
2 tangkai cili kering dihiris
Cili padi merah dihiris
6 keping asam gelugor (kalau kurang masam, lebihkan atau sebaliknya)
2 cawan air
Sedikit serbuk kunyit
Garam
1/2 helai daun kunyit dimayang

Cara:

Masukkan semua bahan kecuali garam dan daun kunyit ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih.
Kecilkan api dan reneh selama 15 minit.
Akhir sekali masukkan daun kunyit dan garam secukup rasa