Masak Lemak Kasih

Salam semua…
Untuk makan malam, saya buat masak lemak jantung pisang dengan ikan senangin. Tapi kali ini saya goreng jantung pisang dan ikan senangin terlebih dulu sebelum dibuat masak lemak.

Resipi ini mudah saja dan ringkas. Jom lihat cara menyediakan hidangan ini..

image

Bahan-bahan:

1 ekor ikan senangin. Dipotong tiga
4 biji jantung pisang berangan saiz kecil
Cili padi di tumbuk hancur
Serbuk kunyit
2 batang serai
1 cawan air
1/2 cawan santan kotak
Minyak yang banyak untuk goreng
Garam

Cara:
1. Ambil bahagian lembut jantung pisang dan belah empat. Gaul garam kunyit
2. Panaskan minyak dan goreng jantung pisang sehingga garing
3. Goreng ikan senangin (tanpa gaul garam kunyit) sehingga masak dan sedikit garing
4. Satukan 1 cawan air, cili padi tumbuk, serbuk kunyit dan serai ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih
5. Masukkkan jantung pisang, ikan, beberapa biji cili padi merah dan santan. Kacau sehingga rata. Masukkan garam secukup rasa. Mendidih, padam api.

Advertisements

Kerabu Jantung Pisang Goreng

Salam semua.
Kerabu jantung pisang ini saya buat beberapa hari yang lepas, cuma hari ini baru saya berkesempatan kongsi resipinya.
Cara membuat mudah saja tapi mengambil masa agak lama juga kerana perlu goreng keringkan jantung pisang itu dulu. Bagi saya kerabu jantung pisang goreng ini sedap tapi tak tahu lah sama ada anda akan suka ke tidak…
Selamat mencuba. 🙂

image

Bahan-bahan:

2 biji jantung pisang, saiz sederhana
100g daging, dihiris nipis dan kecil
4 ulas bawang putih dicincang halus
4 tangkai cili kering dihiris dan buang biji
Serbuk kasar lada hitam
1 biji tomato dibelah dua dan hiris nipis
1 labu bawang besar dibelah dua dan hiris nipis
Cili padi dihiris nipis
1 sudu besar jus lemon
1 sudu besar minyak bijan
Minyak untuk tumis

Cara:

1. Rebus jantung pisang yang telah dibuang kulit keras dan dibelah dua sehingga masak dan lembut. Toskan. Bila sejuk perah jantung pisang untuk buang baki air rebusan. Jantung pisang dihiris nipis dan leraikan
2. Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga hampir garing. Kemudian masukkan daging dan cili kering. Kacau sehingga daging masak
3. Masukkan jantung pisang, lada hitam dan garam. Goreng sehingga kering. Kemudian biarkan sejuk
4. Satukan bawang besar, tomato, cili padi, minyak bijan, jus lemon dan sedikit garam. Ramas sehingga sebati. Masukkan jantung pisang goreng dan gaul sehingga rata. Biarkan 30 minit sebelum hidang.. sekali sekala kacau supaya rasa kerabu jantung lebih sebati

Kerabu Jantung Pisang

Assalamualaikum & Selamat Pagi.

Antara hidangan iftar yang saya sajikan semalam buat keluarga tercinta adalah kerabu jantung pisang. Sedap makan bersama nasi putih panas-panas terutama bila digandingkan dengan sambal belacan atau sambal kelapa dan ikan goreng pasti ummph! 😀

image

Bahan-bahan:

1 jantung pisang. Lapisan kulit keras dibuang. Belah dua dan rebus sehingga lembut.
7 ekor sotong saiz kecil dicelur dan kemudian dihiris
1 kuntum bunga kantan dihiris nipis dan dicincang
1 biji buah tomato dibelah dua. Biji dibuang. Dihiris nipis
1 labu bawang besar dihiris nipis
8 biji cili padi
1/2 sudu teh serbuk kasar lada hitam
Jus 1/2 biji lemon (terpulang pada citarasa masam)
3 helai daun muda limau purut ( terlupalah pula nak masukkan, hehe..)
Garam secukup rasa

Cara:

1) Masukkan jus lemon, cili padi dan garam ke dalam mangkuk kecil. Kacau sehingga garam larut
2) Jantung pisang dihiris memanjang dan kemudian perah buang airnya. Masukkan ke dalam mangkuk.
3) Masukkan bunga kantan, sotong, bawang, tomato, serbuk kasar lada hitam dan campuran jus lemon ke dalam mangkuk jantung pisang. Gaul sehingga rata dan biarkan 30 minit
4) Pastikan gaul selalu sebelum dihidang supaya rasa lebih sebati.