Kari Tulang Lembu

As salam semua.

Apa khabar? Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat walafiat. Saya, alhamdulillah…

Hari ini saya kongsi resipi masakan kari tulang lembu.   😀

image

image

image

Bahan-bahan:

2 kilo tulang lembu
5 cawan air
3 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
2 labu bawang besar di belah dua dan hiris nipis
4 ulas bawang putih dihiris nipis
2 inci halia dicincang
5 sudu besar penuh rempah kari daging Adabi dicampur air dan jadikan pes
3 biji buah kurma (besar) dibelah dua dan buang biji, dihiris nipis.
3 tangkai daun kari, di raut
1/2 cawan minyak (minyak yang banyak perlu untuk masak rempah kari)
Garam secukup rasa

1. Tulang lembu direbus sehingga empuk.
Saya guna pressure cooker dan masak selama 50 minit. Sekiranya anda tidak menggunakan pressure cooker, air perlulah dilebihkan
Bila sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk untuk bekukan lemak yang terdapat dalam air rebusan tulang lembu.
Kemudian senduk buang semua lemak yang beku
2. Panaskan minyak dan tumis bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan kulit kayu manis
3. Masukkan bawang besar, bawang putih dan halia. Goreng sehingga bawang kelihatan sedikit garing
4. Masukkan rempah kari dan kacau rata. Kecilkan api dan masak rempah kari sehingga rempah kelihatan sedikit gelap dan terbit minyak
5. Masukkan air rebusan daging. Kacau dan masak sehingga mendidih.
6. Masukkan buah kurma dan tulang lembu. Reneh selama 20 minit.
7. Masukkan daun kari dan garam secukup rasa.
8. Kalau suka kuah pekat, masak lama sikit di atas api.
9. Sebelum hidang, buang lebihan minyak dalam kuah kari tulang lembu

Kari Daging Tanpa Santan

Assalamualaikum.

Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Hari ini saya nak kongsi resipi kari daging tanpa santan. Mudah saja buatnya dan saya rasa ramai pun tahu masak kari ini. Walaupun begitu, mungkin ada anak-anak muda yang teringin hendak mencuba masak kari daging tanpa santan, mereka bolehlah mencuba resipi yang dibawah. Mana tahu, mungkin masakan ini menepati citarasa anda.
Selamat mencuba.

image

Bahan-bahan:

400g daging lembut/batang pinang dihiris
10 ulas bawang merah dihiris nipis
4 ulas bawang putih dihiris nipis
3 inci kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
3 kuntum bunga lawang
5 tangkai cili kering dihiris
4 sudu besar rempah kari daging (Adabi)
2 1/2 cawan air
2 biji terung bulat
1/2 cawan minyak
Garam

Cara:

1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, putih, bunga lawang, cengkih, pelaga, kulit kayu manis dan cili kering sehingga bawang kelihatan sedikit garing
2. Kemudian masukkan serbuk kari dan kacau sehingga rata. Kecilkan api dan masak sehingga rempah terbit minyak dan kelihatan sedikit gelap
3. Masukkan air dan masak sehingga mendidih.
4. Masukkan terung dan daging dan masak sehingga mendidih. Kacau sehingga rata. Kecilkan api dan reneh kari daging sehingga terung dan daging menjadi lembut dan kuah sedikit pekat. Akhir, masukkan garam secukup rasa.
5. Sebelum hidang, senduk buang lebihan minyak

Kari Jantung Pisang

Salam..
Resipi hari ini adalah untuk mereka yang gemar makan jantung pisang. Selain direbus makan dengan sambal, jantung pisang sedap juga dibuat kerabu dan masak lemak. Tapi semalam saya buat masak kari. Keluarga saya suka, alhamdulillah lega sebab laku habis. Percubaan pertama masak kari jantung pisang berangan ni, berjaya! hehe..

image

Bahan-bahan:
3 biji jantung pisang berangan (jantung pisang ni kecil)
2 labu kecil bawang besar dibelah dua dan hiris nipis
5 biji buah keras ditumbuk lumat
3 ulas bawang putih dihiris nipis
3 sudu besar rempah kari ikan. Saya guna jenama adabi
1 sudu besar serbuk ikan bilis
1 cawan air
1/2 cawan minyak
Garam secukup rasa

Cara:

1. Rebus jantung pisang yang telah dibuang kulit keras dan dibelah dua sehingga masak dan lembut. Toskan
2. Buang sedikit bahagian tengah jantung pisang dan hiris jantung pisang 1/2 cm memanjang
3. Campurkan sedikit air ke dalam rempah kari, kacau sebati menjadi pes
4. Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih sehingga sedikit garing. Kemudian masukkan rempah kari. Masak sehingga terbit minyak dan rempah kelihatan sedikit gelap
5. Masukkan serbuk ikan bilis, buah keras dan 1 cawan air dan masak sehingga mendidih
6. Masukkan jantung pisang. Apabila sudah mendidih, kecilkan api dan reneh sehingga kuah kelihatan sedikit pekat
7. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa.
8. Sebelum hidang, senduk buang lebihan minyak dalam kari jantung pisang