Daging Masak Lemak

As Salam
Resipi untuk hari ini ialah daging masak lemak. Kali ini saya masukkan daun kari dan ikan masin ke dalam masakan ini. Tak sangka sedaplah pulak hehe..

Jom cuba.

image

Bahan-bahan:

300g daging lembut dihiris nipis
5 cm ikan masin kurau
Cili padi merah
Serbuk kunyit
2 biji buah keras
1 cawan air
2/3 cawan santan kotak
2 tangkai daun kari diraut
Garam secukup rasa

Cara:

1. Satukan cili padi, buah keras, ikan masin dan serbuk kunyit. Tumbuk sehingga hancur
2. Panaskan air dan masukkan bahan yang ditumbuk dan kacau sehingga masak
3. Kemudian masukkan daging dan daun kari.
4. Apabila mendidih dan daging telah masak, masukkan santan dan garam secukup rasa. Kacau sehingga rata
5. Padam api apabila kuah mendidih.

Masak Lemak Tumis Ikan Kerisi

Resipi hari ini ialah masak lemak tumis ikan kerisi. Untuk kali ini, saya masukkan daun kari ke dalam masakan supaya memberi sedikit kelainan pada rasa kuahnya, sedaplah pulak..

Selamat mencuba.
image

Bahan-bahan:

3 ekor ikan kerisi, buang sisik dan kepala
4 ulas bawang putih diketuk dan cincang
Cili padi dihiris nipis. Terpulang pada citarasa pedas
4 tangkai daun kari diraut
1 biji tomato dihiris
Serbuk kasar lada hitam
1 cawan air
2/3 cawan santan kotak . Saya guna jenama kara
Minyak
Garam secukup rasa

Cara:

1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih, cili padi dan daun kari sehingga bawang putih sedikit garing.
2. Masukkan air dan buah tomato dan masak sehingga mendidih
3. Masukkan ikan dan serbuk lada hitam
Setelah ikan masak, masukkan santan dan garam secukup rasa. Masak sehingga mendidih.

Masak Lemak Bawal Putih Cilantro

As Salam..
Sudah hampir dua minggu saya tidak update blog, disebabkan saya agak sibuk beberapa hari kebelakangan ini.
Malam ini saya kongsikan satu resipi masakan yang saya sediakan untuk dinner tadi, iaitu masak lemak ikan bawal putih cilantro. Resipi ini simple saja. Walaupun simple, masakannya enak. Saya tahu… sebab saya nampak suami dan anak-anak makan nasi begitu berselera sekali. 😀

Jom lihat resipi
image

Bahan-bahan:

4 ekor ikan bawal putih
Cili padi dan serbuk kunyit ditumbuk
Segenggam daun bawang yg dihiris
Segenggam cilantro/daun ketumbar yang dihiris
1 biji besar buah tomato dipotong dua dan dihiris nipis
1 1/2 cawan air
2/3 cawan santan kotak.
Garam secukup rasa

Cara:

1) Didih air dalam periuk dan masukkan cili padi dan serbuk kunyit yang telah ditumbuk. Kacau sehingga rata.
2) Masukkan ikan bawal dan rebus sehingga masak
3) Kemudian masukkan tomato, daun bawang dan daun ketumbar. Kacau perlahan-lahan. Biarkan mendidih seketika.
4) Masukkan santan dan akhir sekali garam secukup rasa.
5) Mendidih sekejap, padamkan api.