Bubur Tomyam

Dinner semalam simple saja, Bubur Tomyam. Salah satu resipi kegemaran saya. Selain itu yang bestnya masakan ini mudah, sedap, berkhasiat dan jimat tenaga. 😉

BUBUR TOMYAM

1448541390872

Bahan-bahan:
1) 1 ekor ayam kampung (kecil) dipotong lapan dan dibuang kulit.
2) 2/3 pot pelbagai jenis dal dan kekacang dicuci dan direndam 1 jam, supaya proses memasak bubur dapat disingkatkan.
3) 1/3 pot beras direndam
4) 2 inci lengkuas dihiris dan ketuk
5) 2 batang serai diketuk
6) 2 biji tomato dibelah empat & 3 helai daun limau purut dicarik.
7) 1 labu bawang besar dibelah lapan
8) Jus 1 biji lemon. kurangkan kalau nak kurang masam
9) 1/2 mangkuk daun ketumbar yang telah dihiris dan 4 biji cili padi dihiris nipis. Garam secukup rasa.

Cara:
1) Didihkan 1 litre air ke dalam periuk. Masukkan beras, kekacang, ayam, lengkuas dan serai. Rebus sehingga masak
2) Masukkan tomato, daun limau purut dan reneh sehingga nasi dan kekacang menjadi kembang. Tambah air jika perlu.

3) Akhir sekali, masukkan bawang besar, jus lemon, cili padi, daun ketumbar dan garam secukup rasa

Ok, selamat mencuba.

Tomyam Ikan Siakap

Salah satu cara saya memberi kelainan pada makanan yang simple ialah dengan masukkan herba. Bukan sahaja herba boleh menambah rasa enak pada makanan, ia juga boleh memberi manfaat tambahan pada kesihatan.
Lengkuas, serai, daun limau purut dan daun ketumbar yang terdapat pada masakan tomyam mengandungi vitamin, mineral dan antioksidan. Antioksidan boleh meneutralkan radikal bebas yang memusnahkan sel-sel dalam badan kita. Disamping itu herba-herba ini juga boleh meningkatkan metabolisme kita.

Apakah herba kegemaran anda?

1448541130352

 

 

Bahan-bahan:

1) 1 ekor ikan siakap, buang sisik dan potong dua
2) Lengkuas 4″ diketuk
3) 2 batang serai diketuk
4) 6 biji tomato ceri dibelah dua
5) 1 labu bawang besar dihiris
6) 1 sudu teh serbuk kasar cili kering, sedikit cili padi diketuk
7) 4 cawan air
8) jus 1 biji lemon
9) 2 pokok ketumbar, akar jangan dibuang dan 4 helai daun limau purut dicarik-carik.

10) garam secukup rasa

Masukkan bahan 2~7 ke dalam periuk dan masak sehingga mendidih. Kemudian masukkan ikan. Bila ikan dah masak masukkan jus lemon , daun ketumbar, daun limau purut dan garam secukup rasa. Kalau nak kurang masam, kurangkan jus lemon.

Kombinasi bahan-bahan untuk masakan tomyam ini boleh membuka selera… satu hidangan yang berkhasiat dan baik untuk kesihatan badan.

Jom makan 🙂