Segala puji bagi Allah, pemilik sekalian alam, yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w juga kepada para keluarga dan sahabatnya.
Syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izinNya kami dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci lagi.
Perjalanan kami pada 3 Mac yang lalu dari KL terus ke Madinah dengan penerbangan Saudia Air, mengambil masa kira-kira 8 jam. Kami menaiki pesawat pada jam 3 petang, transit sekejap di Riyadh dan tiba di Madinah pada jam 9 malam waktu tempatan.
Di Kuala Lumpur International Airport
Hotel Oberoi Madina dan sekitarnya.
Saya, suami dan anak menginap di hotel Oberoi Madina selama 4 malam. Hotel ini terletak beberapa langkah sahaja dengan pintu masuk perkarangan Masjid Nabawi.
Masa kami tiba pada malam itu, cuaca di Madinah dingin dan nyaman. Dari Prince Mohammad Bin Abdulaziz International Airport Madinah, kami menaiki bas yang telah disediakan oleh travel agen dan perjalanan tidak lama sebab jarak cuma 15 kilometer ke hotel.
Hati menjadi begitu tenang, gembira dan bercampur baur rasa sayu tatkala mata terpandang pada masjid Nabi yang begitu indah sekali. Rasa diri ini amat bersyukur ke hadrat Illahi kerana doa kami hendak ke sana dimakbulkanNya jua. Alhamdulillah. Saya selalu yakin pada Allah jika ada niat mahu ke Tanah Suci, pasti Allah akan perkenankan. Yang penting pasang niat yang ikhlas, Allah akan beri jalan..inshaaAllah.
Pemandangan dalam Masjid Nabawi
Pemandangan Masjid Nabawi sekitar jam 10 pagi. My daughter posing di courtyard Masjid Nabawi
Pemandangan Masjid diwaktu hampir maghrib. Kelihatan semua payung ditutup.
Madinah al-Munawwarah terletak di wilayah Hijaz, Arab Saudi. Nama asalnya adalah Yathrib tetapi selepas peristiwa hijrah, nama kota ini di tukar kepada Madinat Al-Nabi (Kota Nabi) ataupun Al Madinah Al Munawwarah yakni kota yang bercahaya.
Madinah adalah tempat paling suci bagi umat Islam selepas Mekah. Ini adalah kerana di sini terdapatnya Masjid Nabawi dan juga makam Rasulullah s.a.w.
Nabi s.a.w. telah hijrah ke Madinah dan menjadikannya sebagai medan dakwahnya, memberkatinya serta menjadikannya sebagai tanah suci kedua. Madinah adalah negeri dimana Nabi menghabiskan 10+tahun terakhir hidupnya dan dimakamkan di sana.
Kota ini diriwayatkan tidak akan dimasuki oleh Dajjal.
Masjid Nabawi adalah masjid yang kedua didirikan oleh Rasulullah selepas masjid Quba.
Baginda s.a.w. bersabda: “Solat dimasjidku ini lebih utama (afdal) 1000 kali daripada solat di tempat lain, kecuali di Masjidil Haram (Hadis Sahih Bukhari no.1190)
Masjid Nabawi memang sangat cantik dan tersergam indah, mashaAllah! Setiap jemaah yang membawa bag masuk ke dalam masjid akan diperiksa oleh petugas di pintu masuk Masjid. Biasanya saya akan buka bag sebelum disuruh dan saya dapati petugas tidak berminat memeriksa bag saya dengan teliti bila dibuat begitu π
Sebenarnya para jemaah tidak dibenarkan merakam gambar di dalam masjid, tapi tidak seperti dahulu, saya dapati kini peraturannya lebih fleksible iaitu kamera dan handphone berkamera dibiarkan saja jemaah membawa masuk. Kalau dulu tak boleh, memang kena tahan dah! Namun begitu saya dapati ramai yang mengambil gambar dan saya pun buat pertama kali cepat-cepat rakam sedikit gambar untuk dijadikan kenangan.
Menurut buku Pictorial History of Madinah Munawwarah, karya Dr. Muhammad Ilyas Abdul Ghani; Masjid Nabawi boleh menampung seramai 535,000 jemaah. Terdapat juga disekitar bawah Masjid tempat letak kereta yang boleh menampung 4,444 buah kenderaan. Masjid Nabawi mengandungi 27 buah kubah bergerak dan 543 kamera litar di dalam/luar masjid. Terdapat 6,000 paip air untuk mengambil wudhu dan 2,000 bilik air di 14 tempat yang di sediakan di sekitar Masjid.
Jadi sekiranya perlu mengambil wudhu, ia mudah dan dekat kerana terdapat diperkarangan masjid dan saya sendiri pernah ambil wudhu di tempat yang disediakan. Jadi inshaaAllah, ibu bapa tidak perlu gusar sekiranya anak remaja mereka pergi sendirian ke tempat wudhu sebab ramai jemaah disitu.
Masjid Nabawi dibuka pada jam 3 pagi dan ditutup pada pukul 11 malam kecuali dibulan Ramadan, dibuka sepanjang masa….
MasyaAllah.
Alhamdulillah…seronoknya!! Rindu nak ke sana lagi….
Alhamdulillah..
Misshasofea, Kita akan sering merindu nak kesana lagi. π
alhamdulililah,syukran.saya pun dah sampai kebumi madinah.
Alhamdulillah. Tempat yang paling indah dan sentiasa dirindui.. π
tapi,malangnya,handphone yg banyak meragam moment yg indah di bumi allah,hilang kena curi sewaktu balik dari masjidil haram.
sedih kan tempat yang suci masih ada insan yang sanggup melakukan perbuatan yang tidak baik..