Assalamualaikum.
Bagaimana sambutan hari raya anda tahun ini? Pasti meriah kan bila dapat bersama dengan keluarga meraikan hari lebaran.
Tahun ini saya sekeluarga dapat menyambut Aidilfitri bersama Ibu dan adik beradik di Alor Setar, Kedah.
Kami bertolak sehari sebelum raya dan berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada jam 4 pagi pada 4 shawal. Alhamdulillah perjalanan pulang berjalan lancar. Kenderaan tak banyak, jam 8.30 pagi kami dah sampai rumah. Lega! Kami tidak berdepan dengan kesesakan jalanraya.
Sebelum bertolak pulang ke Alor Setar, saya sediakan dua jenis rendang iaitu rendang daging paru jintan dan rendang ayam Perak untuk hidangan juadah pagi raya. Saya olahkan sedikit resipi asal rendang ayam perak agar rendang ini dapat bertahan lebih lama. Alhamdulillah, semua ahli keluarga saya kata sedap hehe…
Bahan-bahan:
1) 3 ekor ayam kampung, buang kulit dan dipotong kecil
2) 1 cawan minyak
3) 4 inci lengkuas dihiris
4) 6 batang serai diketuk
5) 2 kotak kecil santan kara
6) 3 helai daun kunyit dicarik2
7) Gula melaka secukup rasa
8) Garam secukup rasa
9) Minyak untuk goreng ayam
Bahan A: Kisar
1) 100 tangkai cili kering, buang biji dan rendam air panas
2) 20 biji cili padi
3) 1 cawan air
Bahan B: Kisar
1) 150g lengkuas
2) 150g halia muda
3) 100g bawang putih
4) 800g bawang merah
5) 3 inci kunyit segar
6) 10 batang serai
7) 1 cawan air
Cara:
1. Gaul ayam dengan garam dan serbuk kunyit. Perap 1 jam. Panaskan minyak yang banyak dan goreng ayam sehingga masak. Toskan
2. Panaskan 1 cawan minyak, tumis lengkuas dan serai sehingga serai kekuningan
3. Kemudian masukkan bahan kisar A dan masak sehingga terbit minyak
4. Masukkan bahan kisar B. Kacau selalu sehingga cili kelihatan sedikit gelap, pekat dan terbit minyak. Kemudian masukkan garam, gula dan daun kunyit.
5. Masukkan santan dan ayam goreng. Kacau rata, Kecilkan api dan masak sehingga kuah hampir pekat.
6. Sebelum padam api, rasa rendang dan jika perlu tambah garam dan gula secukup rasa.
Alhamdulillah.,.. seronoknya dapat beraya bersama keluarga di kampung. Kami dapat bersama family 3 hari pun dah rasa syukur sangat diberi kesempatan ini….
Betul tu Amie. Bila dapat beraya bersama keluarga terasa begitu bermakna kan sambutan aidilfitri kita…