Ayam Jintan Bercili

Assalamualaikum..
Resipi hari ini adalah Ayam Jintan Bercili.

Selamat mencuba! 😀

Bahan-bahan:

1 ekor ayam kampung, potong ikut suka dan dibuang kulit. Cuci & toskan
2 sudu besar serbuk jintan manis
1 labu besar bawang besar dibelah dua dan hiris nipis
10 ulas bawang merah
1 labu bawang putih
15 tangkai cili kering, dibuang biji. Rendam air panas selama 5 minit
8 batang serai diketuk
6 tangkai daun kari di raut.
3 sudu besar sos cili Lingam
1 sudu besar kicap
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Cara:

1. Gaulkan sedikit garam dan serbuk jintan manis pada ayam. Perap selama 2 jam
2. Kisar cili kering, bawang merah dan bawang putih sehingga lumat.
3. Panaskan minyak, Goreng bawang besar sehingga perang. Angkat dan toskan. Kemudian goreng ayam sehingga masak tapi jangan garing. Angkat dan toskan
4. Dalam kuali yang sama, cedok keluar minyak dan tinggalkan lebih kurang 1 cawan minyak. Masukkan serai dan goreng sehingga kuning. Kemudian masukkan daun kari dan goreng sehingga hampir garing.
5. Kecilkan api dan masukkan  bahan kisar dan masak sehingga terbit minyak dan cili kelihatan sedikit gelap. 
6. Masukkan sos cili, kicap, gula dan garam secukup rasa
7. Masukkan ayam dan bawang goreng. Kacau sekejap di atas api.

Juadah AidilFitri 2016

Assalamualaikum.

Bagaimana sambutan hari raya anda tahun ini? Pasti meriah kan bila dapat bersama dengan keluarga meraikan hari lebaran.

Tahun ini saya sekeluarga dapat menyambut Aidilfitri bersama Ibu dan adik beradik di Alor Setar, Kedah.
Kami bertolak sehari sebelum raya dan berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada jam 4 pagi pada 4 shawal. Alhamdulillah perjalanan pulang berjalan lancar. Kenderaan tak banyak, jam 8.30 pagi kami dah sampai rumah. Lega! Kami tidak berdepan dengan kesesakan jalanraya.

Sebelum bertolak pulang ke Alor Setar, saya sediakan dua jenis rendang iaitu rendang daging paru jintan dan rendang ayam Perak untuk hidangan juadah pagi raya. Saya olahkan sedikit resipi asal rendang ayam perak agar rendang ini dapat bertahan lebih lama. Alhamdulillah, semua ahli keluarga saya kata sedap hehe…

Bahan-bahan:

1) 3 ekor ayam kampung, buang kulit dan dipotong kecil
2) 1 cawan minyak
3) 4 inci lengkuas dihiris
4) 6 batang serai diketuk
5) 2 kotak kecil santan kara
6) 3 helai daun kunyit dicarik2
7) Gula melaka secukup rasa
8) Garam secukup rasa
9) Minyak untuk goreng ayam

Bahan A: Kisar

1) 100 tangkai cili kering, buang biji dan rendam air panas
2) 20 biji cili padi
3) 1 cawan air

Bahan B: Kisar

1) 150g lengkuas
2) 150g halia muda
3) 100g bawang putih
4) 800g bawang merah
5) 3 inci kunyit segar
6) 10 batang serai
7) 1 cawan air

Cara:

1. Gaul ayam dengan garam dan serbuk kunyit. Perap 1 jam. Panaskan minyak yang banyak dan goreng ayam sehingga masak. Toskan
2. Panaskan 1 cawan minyak, tumis lengkuas dan serai sehingga serai kekuningan
3. Kemudian masukkan bahan kisar A dan masak sehingga terbit minyak
4. Masukkan bahan kisar B. Kacau selalu sehingga cili kelihatan sedikit gelap, pekat dan terbit minyak. Kemudian masukkan garam, gula dan daun kunyit.
5. Masukkan santan dan ayam goreng. Kacau rata, Kecilkan api dan masak sehingga kuah hampir pekat.
6. Sebelum padam api, rasa rendang dan jika perlu tambah garam dan gula secukup rasa.

Ayam Goreng Buah Pelaga

Salam semua.

Hari ini saya post resipi yang saya masak semalam.
Saya cuma goreng 4 ketul ayam saja untuk 2 orang makan. Asalnya nak goreng kunyit. Tiba-tiba datang ilham, kenapa tidak saya buat satu kelainan, goreng dengan buah pelaga pula.. maka terciptalah resipi ini hehe..

Selamat mencuba!

image

Bahan-bahan:

4 ketul ayam kampung, buang kulit, cuci dan toskan
Serbuk kunyit
4 biji buah pelaga (buah pelaga kecil) ditumbuk hancur
6 biji buah pelaga diketuk
6 ulas bawang putih di cincang
4 tangkai cili kering dihiris
3 tangkai daun kari dilurut, buang tangkai
Garam
1 sudu besar minyak sapi
Minyak

Cara:

1) Lumur ayam dengan garam kunyit
2) Goreng sehingga hampir garing, angkat dan toskan
3) Panaskan 3 sudu besar minyak dan minyak sapi.
4) Tumis semua buah pelaga dan bawang putih sehingga bawang kekuningan
5) Masukkan cili kering dan daun kari
6) Kecilkan api, masukkan ayam dan gaul rata.
7) Goreng sehingga ayam garing. Tuang ayam dan semua bahan yg digoreng ke dalam tapis. Toskan

Sedapnya makan dengan ayam goreng ini bila nasi digaul dengan perencahnya…