Limau Kasturi

Siapa sangka buah yang sekecil limau kasturi ini mempunyai khasiat yang lebih banyak daripada sebiji epal hijau iaitu antara buah-buahan yang mempunyai kadar antioksidan terbaik.

Perahan jus limau kasturi bukan saja mampu menambahkan keenakan rasa pada sesetengah masakan dan minuman. Malah jus limau kasturi apabila dicampur dengan air dan madu diminum boleh merawat batuk, demam panas, keletihan, selsema dan sakit kerongkong. Selain dari itu minum jus dari 3 biji buah limau kasturi tanpa dicampur air sebelum sarapan selama 3 hari berturut-turut dikatakan berkesan bagi menurunkan tekanan darah tinggi.

Jus limau kasturi mengandungi Floretin-G yang amat baik untuk kesihatan badan. Ia juga mengandungi vitexsin, yang menjadi salah satu bahan untuk merawat dan mencegah penyakit darah tinggi dan jantung.

image

Selain Floretin-G,limau kasturi juga mempunyai asid ferulik iaitu bahan antioksidan semulajadi untuk menambah baik kesihatan sistem tubuh manusia selain dapat mengurangkan kedutan pada kulit.

Hmm..rasanya yang masam tapi mempunyai banyak khasiat dan kebaikan. 🙂

Rujukan:
Berita Harian 1 Jun 2013
Ong Hean Chooi: Rempah-ratus, khasiat makanan & ubatan.

Khasiat Buah Naga

Buah naga pada asalnya dikenali sebagai pitaya, mempunyai manfaat kesihatan yang luar biasa. Ia boleh meningkatkan daya ingatan dan kadar metabolisme badan. Buah ini secara semulajadi berkeupayaan mengawal tekanan darah dan menurunkan paras gula dalam darah.

Buah naga kaya dengan antioksidan, vitamin, zat galian dan dengan itu ia membantu meningkatkan sistem imun, mengekalkan kesihatan jantung dan kulit. Buah ini juga baik untuk asma dan kesihatan mata. Kajian menunjukkan buah naga merah sangat baik untuk sistem peredaran darah, juga memberi kesan mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik dalam darah.

image

Buah naga bukan sahaja sedap dimasukkan ke dalam salad buah-buahan, ia juga boleh dibuat minuman yang menyegarkan.

Dragon Fruit Benefits

Nona

Hari sabtu baru-baru ini saya dan suami pergi ke Johor Bahru. Semasa dalam perjalanan pulang semalam singgah sekejap di R & R Pagoh. Saya ternampak buah Nona yang dijual dengan harga sekilo 10 ringgit, jadi belilah 4 biji.

image

Terdapat pelbagai jenis buah nona ini, ada yang mempunyai kulit hijau, hijau kuning dan merah hati seperti yang saya beli.

Khasiat yang terkandung dalam buah ini mampu menghasilkan sel darah merah, mengawal tekanan darah, merawat sembelit dan cirit birit.
Buah ini juga kaya dengan magnesium yang dapat mengurangkan penyakit reumatisme dan arthritis. Mineral potassium yang terdapat dalam buah nona dapat membantu mengurangkan kelemahan otot. Ada mengatakan khasiat buah Nona hampir sama dengan buah Durian belanda. Entahlah tapi yang saya tahu daun kedua-dua buah ini boleh memberi banyak manfaat. InsyaAllah.

Menurut buku Ong Hean Chooi;
Air rebusan daun Nona diminum untuk merangsang haid, membuka selera, rawatan selsema, mengatasi kesejukan, mengeluarkan angin daripada perut dan usus, dikumur untuk rawatan sakit kerongkong dan dijadikan air mandian untuk rawatan sakit otot, demam panas dan untuk kanak-kanak yang sentiasa gelisah.
Daun Nona ditumbuk lumat dan ditampal pada ulser, kudis dan pada kepala untuk rawatan sakit kepala.
Air rebusan daun, buah muda dan kulit kayu Nona diminum untuk rawatan bengkak usus besar.

Dah lama benar saya tak makan buah ini..
Kena tunggu dua tiga hari lagi baru boleh makan sebab buah masih belum masak, jadi kenalah peram dulu… 🙂