Hari sabtu baru-baru ini saya dan suami pergi ke Johor Bahru. Semasa dalam perjalanan pulang semalam singgah sekejap di R & R Pagoh. Saya ternampak buah Nona yang dijual dengan harga sekilo 10 ringgit, jadi belilah 4 biji.
Terdapat pelbagai jenis buah nona ini, ada yang mempunyai kulit hijau, hijau kuning dan merah hati seperti yang saya beli.
Khasiat yang terkandung dalam buah ini mampu menghasilkan sel darah merah, mengawal tekanan darah, merawat sembelit dan cirit birit.
Buah ini juga kaya dengan magnesium yang dapat mengurangkan penyakit reumatisme dan arthritis. Mineral potassium yang terdapat dalam buah nona dapat membantu mengurangkan kelemahan otot. Ada mengatakan khasiat buah Nona hampir sama dengan buah Durian belanda. Entahlah tapi yang saya tahu daun kedua-dua buah ini boleh memberi banyak manfaat. InsyaAllah.
Menurut buku Ong Hean Chooi;
Air rebusan daun Nona diminum untuk merangsang haid, membuka selera, rawatan selsema, mengatasi kesejukan, mengeluarkan angin daripada perut dan usus, dikumur untuk rawatan sakit kerongkong dan dijadikan air mandian untuk rawatan sakit otot, demam panas dan untuk kanak-kanak yang sentiasa gelisah.
Daun Nona ditumbuk lumat dan ditampal pada ulser, kudis dan pada kepala untuk rawatan sakit kepala.
Air rebusan daun, buah muda dan kulit kayu Nona diminum untuk rawatan bengkak usus besar.
Dah lama benar saya tak makan buah ini..
Kena tunggu dua tiga hari lagi baru boleh makan sebab buah masih belum masak, jadi kenalah peram dulu… 🙂