Pelbagai ulam, pelbagai rasa dan pelbagai khasiat…
Elok diamalkan untuk kesihatan… 🙂
Kebanyakkan kita tidak menyedari bahawa herba parsley yang paling popular di dunia mempunyai banyak manfaat kesihatan. Selalunya kita dapati parsley sering digunakan sebagai hiasan hidangan di restoran.
Herba ini kaya dengan antioksidan, vitamin, mineral dan serat. Ia boleh membantu mengawal kolesterol, mencegah sembelit dan mengurangkan tahap gula darah di dalam pesakit kencing manis, meningkat sistem imun, mengimbangi hormon, mengeluarkan angin dari perut dan usus, memulih otot rahim (tonik rahim), membantu menurunkan berat badan, merawat anemia, rheumatism, gout, melarut batu karang, serta merangsang dan melawas haid.
Ia juga mengandungi lutein dan zeaxanthin yang baik untuk kesihatan mata. Parsley juga kaya dengan chlorophyll yang dapat membantu mengalkalikan darah, membentuk sel-sel darah merah yang baru, membersihkan darah dan menyegarkan nafas. Mengambil parsley hari-hari dapat mengurangkan tekanan darah. Ia membantu menghadam makanan, menyahkan unsur-unsur toksik dalam badan dan juga merangsang pencernaan protein dan lemak. Parsley juga meningkat dan merangsang keupayaan tenaga organ-organ untuk menyerap dan menggunakan nutrien.
Parsley boleh dimakan mentah atau sebagai minuman herba yang biasanya diambil dalam kuantiti kira-kira 2 fl oz (50ml) tiga kali sehari dan terbaik dicampur dengan jus lain.
Hmm…. dikatakan ramai yang memakan parsley untuk menyelesaikan masalah kesihatan mendapati ianya bermanfaat, insyaAllah.
Kerabu ni saya buat semalam. Saya guna pelbagai jenis ulam/herba dan bila dah siap saya masukkan ke dalam balang kaca. Kemudian simpan dalam peti sejuk.
Bahan-bahannya:
1) Daun putat 3 helai, daun kesom segenggam, daun selom segenggam, daun mengkudu 3 helai, daun tenggek burung segenggam, pucuk muda daun limau purut 4 helai,1 batang bunga kantan, 2 biji buah asam belimbing.
2) 2 ulas bawang merah, 2 cili merah dibuang biji dan sedikit cili padi
3) 1keping ikan tenggiri dikukus
4) 1 tsp biji lada hitam dan garam secukup rasa
5) Jus 1/2 biji lemon. Kalau rasa kurang masam tambahlah jus lemon.
6) 3tbsp santan pekat.
Cara membuatnya:
1) Semua bahan 1~2 dihiris nipis
2) Tumbuk lada hitam hingga hancur, kemudian masukkan ikan dan tumbuk bagi sebati dan masukkan jus lemon dan garam.
3) Gaul bahan 1~2 hingga rata dan masukkan kedalam balang dan masuk ke dalam peti sejuk.
4) Keluarkan dari peti sejuk 30 minit sebelum makan, masukkan santan dan gaul sehingga rata sebelum dimakan.
Selalunya bila buat kerabu saya akan biarkan kerabu diperap tak lebih dari 1 jam untuk ia sebati baru dihidang. Tapi kali ini saya biarkan selama 24 jam, nak tengok bagaimana rasanya bila daun2 beraneka herba ini dicampur dan diperap begitu lama.
Bagi saya kerabu ni lebih terasa herba2nya…
Kini menjadi, my favourite 🙂