Bisa tulang ikan.

Tiga hari lepas ketika sedang siang ikan siakap, tiba-tiba ibu jari tercucuk tulang ikan. Adui..sakitnya. Seperti biasa saya biarkan saja. Rupanya kali ni bisa. Tak sangka badan rasa nak demam. Suami suruh jumpa doktor, sebab ibu jari sakit dan berdenyut. Kata doktor ” Dah berlaku jangkitan kuman”. Kena rehat, sapu krim pada ibu jari dan makan ubat!
Rehat? itu sudah pasti.
Makan ubat? Hmm… belum pasti! haha…
Sebenarnya dah lama sangat saya tak ambil ubat. Saya cuba sebaik mungkin untuk mengelakkan dari makan ubat dan akan cuba cari alternatif. kadang- kadang suami bebel le juga. Katanya “bukan susah pun nak makan ubat, telan je… ” Bagi saya kalau sakit itu serius sangat atau emergency, saya perlulah makan ubat…. Alhamdulillah setakat ni ok je. Semoga akan datang begitu jua, InsyaAllah…

Kadang- kadang perkara kecil kita tak ambil kisah. Setakat kena tulang ikan, apa le sangat. Rupanya ada padahnya. Lain kali kena berhati-hati, bila buat kerja!

Bila berlaku jangkitan kuman, immune system kita akan menurun sebab itulah kita akan rasa badan kurang sihat. Bila keadaan macam ni, kena banyak rehat dan lebihkan minum air. Sebentar lagi nak pergi dapur, cari herba to boost my immune system…

image
Banyak sangat herba di rumah, jadi saya perlulah pilih yang sesuai.

Pilihan saya adalah kunyit dalam kapsul, senang sikit nak telan. 😉 . Saya ambil kunyit sebab ia anti viral, anti bakteria dan anti radang. Ia juga mengawal infeksi pada luka di kulit. Di label dinyatakan satu kapsul sehari, tetapi saya ambil dua, “special case…” hahaha.. Semoga mujarab, InsyaAllah.

Bacaan tambahan:

Khasiat kunyit

Gobo, Tonik darah?

image
Gobo (Burdock) baik untuk penghadaman dan nyah toksik. Melegakan bengkak sendi dan mengurangkan keradangan seperti gout, arthritis dan rheumatism.

Menurut Bartram’ s encyclopedia of herbal medicine:
Gobo merupakan tonik untuk darah yang sangat berkesan.

Sup kesukaan saya, mudah dan simple.

image
Bahan- bahan: 5 batang gobo (kering), 6 ubi kentang, 1 labu bawang besar dan 3 ketul ayam.

image
Ubi kentang dipotong kiub

image
Selepas saya rebus gobo + 3 mug air selama 30 minit diatas api yang kecil, saya masukkan ayam, ubi kentang dan bawang yang dihiris kecil. Biarkan atas api kecil selama 30 minit lagi. Dah masak, isi ayam dicarik dan masukkan kedalam sup. Akhir sekali masuk garam dan lada hitam secukup rasa.

image

Gobo juga menambah rasa sedap sup. Terdapat yang ‘fresh’ dijual di supermarket. Saya suka beli yang kering sebab boleh simpan lama.
Kalau ada gobo dirumah, cuba le resipi ini 😉

Bunga Kekwa/Chrysanthemum menyejukkan badan?

Masa zaman remaja, suka sangat teh bunga kekwa ni. Setiap kali balik sekolah selepas aktiviti sukan cepat-cepat pergi beli air kekwa untuk hilangkan dahaga.

image
Teh bunga kekwa popular dalam perubatan tradisional cina. Saya masukkan 1 tbsp bunga kekwa dalam secawan air panas. Tutup cawan. Biarkan selama 3 minit. Saya baca, biasanya bunga ni direndam selama 5 minit, tapi bagi saya rasanya terlalu kuat. Tapis. Bunga kekwa boleh diulang tapi rasanya dah kurang sikit. Saya suka minum teh kekwa panas tanpa dimaniskan. Boleh maniskan dengan madu kalau suka..

image
Saya suka bau bunga ni, wangi! 😀 ( beli yang berkualiti rasa pun bagus). Simpan dalam peti sejuk untuk tahan lama.

Bila badan rasa panas atau rasa macam nak demam, teh ni sangat sesuai diminum sebab ia boleh menyejukkan dalaman badan kita. Di syorkan minum teh kekwa apabila terlalu banyak makan makanan goreng. Dalam perubatan tradisional cina, teh ini juga diminum bagi melegakan gusi yang sakit dan berdenyut, merawat sakit kepala dan menenangkan saraf.Teh bunga kekwa tinggi kadar beta karotena baik untuk kulit dan meningkatkan sistem imun.

Teh kekwa yang dijual dalam kotak atau tin, bagi pandangan saya sangat manis…
Saya selalu pesan pada anak-anak, jauhi minuman dalam kotak atau tin kerana kandungan gula sangat tinggi. (Belilah yang tulis no added sugar). Sekarang ni ramai orang-orang muda menghidap penyakit kencing manis.Teringat pada kata-kata seorang teman yang menghidap kencing manis, “Penyakit ini susah kita dibuatnya!!”