Buah Berangan / Chestnut

Satu kenangan yang tidak pernah saya lupa ketika berada di Seoul, Korea pada musim gugur ialah makan buah berangan. Saya terpegun kerana kali pertama melihat buah berangan yang begitu besar, lebih kurang dua kali ganda saiz biasa. Buah berangan goreng adalah makanan yang sangat popular di negara China dan korea terutama pada musim sejuk kerana ia boleh membantu untuk memanaskan badan serta meningkatkan kesihatan sendi.

Buah berangan yang baru dimasak baunya harum, rangup di luar dan lembut serta rasa lemak di dalam. Ia rendah lemak dan tinggi kandungan karbohidrat kompleks.

image
Baru ni beli 2 paket buah berangan dari Korea di supermarket Isetan.

Sebelum bakar dalam oven, saya toreh dulu buah ini. Hmm… tak ingat dari mana dapat tip ini tapi inilah amalan saya setiap kali nak bakar buah berangan.
image

Buah berangan kaya dengan vitamin B, C, protein, serat dan mineral potassium, magnesium dan phosphorus. Ia tidak mengandungi kolesterol dan rendah kalori. Sedap pulak tu!!

Chestnuts Nutrition Information

Kerabu aneka herba

Kerabu ni saya buat semalam. Saya guna pelbagai jenis ulam/herba dan bila dah siap saya masukkan ke dalam balang kaca. Kemudian simpan dalam peti sejuk.

image

image

image

image

Bahan-bahannya:
1) Daun putat 3 helai, daun kesom segenggam, daun selom segenggam, daun mengkudu 3 helai, daun tenggek burung segenggam, pucuk muda daun limau purut 4 helai,1 batang bunga kantan, 2 biji buah asam belimbing.
2) 2 ulas bawang merah, 2 cili merah dibuang biji dan sedikit cili padi
3) 1keping ikan tenggiri dikukus
4) 1 tsp biji lada hitam dan garam secukup rasa
5) Jus 1/2 biji lemon. Kalau rasa kurang masam tambahlah jus lemon.
6) 3tbsp santan pekat.

Cara membuatnya:
1) Semua bahan 1~2 dihiris nipis
2) Tumbuk lada hitam hingga hancur, kemudian masukkan ikan dan tumbuk bagi sebati dan masukkan jus lemon dan garam.
3) Gaul bahan 1~2 hingga rata dan masukkan kedalam balang dan masuk ke dalam peti sejuk.
4) Keluarkan dari peti sejuk 30 minit sebelum makan, masukkan santan dan gaul sehingga rata sebelum dimakan.

Selalunya bila buat kerabu saya akan biarkan kerabu diperap tak lebih dari 1 jam untuk ia sebati baru dihidang. Tapi kali ini saya biarkan selama 24 jam, nak tengok bagaimana rasanya bila daun2 beraneka herba ini dicampur dan diperap begitu lama.

Bagi saya kerabu ni lebih terasa herba2nya…
Kini menjadi, my favourite 🙂

Buah tunjuk langit / Sky fruit

Semalam saya beli buah tunjuk langit, saja-saja nak cuba. Kata mak cik yang jual, buah ni sangat pahit tetapi baik untuk kesihatan.

Saya pun cubalah gigit sikit buah tunjuk langit ni dan terkena pada lidah, ya Allah, pahit sungguh! Tak pernah saya rasa satu makanan sepahit ni. Saya fikir, perlu ke saya cuba makan buah ini?

Bila saya baca tentang khasiat buah tunjuk langit ini, ia menarik minat saya untuk mencuba tapi bila kenangkan rasanya pahit yang amat sangat membuat saya fikir dua kali, hihihi.. Banyak jenis herba saya dah cuba, ada juga yang pahit tapi yang ini lain macam sikit, terlalu pahit 🙂

Anyway jom kita baca kelebihan buah ni..

Di Malaysia buah tunjuk langit digunakan sebagai bahan asas vitamin dan ubat-ubatan. Ia mengandungi flavonoid dan saponin.
Kandungan flavonoid dalam buah tunjuk langit adalah baik untuk peredaran darah, mencegah saluran darah tersumbat dan mengurangkan deposit kolesterol dan juga lemak pada dinding saluran darah. Ia juga bertindak sebagai anti radang, membantu mengurangkan kesakitan, pendarahan dan lebam serta turut bertindak sebagai antioksidan untuk menghapuskan radikal bebas. Manakala saponin pula berguna untuk mengurangkan lemak badan, meningkatkan sistem imun, bertindak sebagai agen pencegahan kanser, memperbaiki tahap gula dalam darah, menguatkan fungsi hati dan jantung serta melambatkan proses pembekuan darah.

image

image

Buah ini dikatakan anti penuaan serta boleh merangsang tenaga, membina semula tisu, mengaktifkan sel-sel, menguat perut, jantung, paru-paru, limpa, menambah darah dan menguatkan arteri, mengawal gula darah dan mengembalikan kesihatan jantung dan otak.
Ia juga baik untuk merawat diabetes, hipertensi, alahan kulit, asma, senggugut, strok peringkat pertama, gastritis, reumatik, penyakit hati, nafas berbau, ketumbuhan, sembelit dan masalah penghadaman.

Cara mengambilnya:
1) Untuk mengekalkan kesihatan, ambil 1 biji pada waktu pagi semasa perut kosong
2) Untuk tujuan berubat, ambil 1 atau 2 pada waktu pagi semasa perut kosong (mak cik yang jual beritahu saya, ambil 1 pagi sebelum sarapan dan 1 di waktu malam). Minum banyak air.

Kalau digigit sikit2 dan telan dengan air atau dikisar lebih berkesan dan meningkat penyerapannya ke dalam tubuh badan tapi mampukah kita? Biji buah tunjuk langit ni boleh ditelan begitu saja tapi saya tak tahulah tahap keberkesanannya.

Atau…. beli je lah dalam kapsul 😉

Bacaan tambahan:

Sky fruit

Sky fruit, Swietenia macrophylla