Khasiat Aloe Vera sangat menarik.

Tengah hari tadi terpandang saya pada pokok aloe vera di tepi rumah. Tidak banyak yang saya miliki, cuma sepasu saja. Dah lama jugalah tanam pokok ini tapi lambat sungguh nak membesar, agaknya mungkin tak pernah letak baja, hehe..

Pokok aloe vera ada pelbagai jenis, yang selalu saya tengok orang tanam ialah daunnya yang tirus panjang. Saya diberitahu, pokok aloe vera yang berkhasiat ialah yang daun tebal dan lebar, pokoknya besar.
Saya pernahlah cuba makan daun aloe vera ini, rasa boleh tahan juga cuma berlendir. Lendir aloe vera ini dikatakan baik untuk kulit, untuk awet muda. Pernahlah juga saya cuba sapu dimuka, tapi tidak sesuai dengan kulit saya, gatal dibuatnya 😀

image

image

Banyak kajian saintifik telah dilakukan di negara barat dan mereka mendapati aloe vera mengandungi banyak khasiat. Jus aloe vera ini menguatkan sistem imun, melambatkan proses penuaan, melegakan sakit otot dan sendi, boleh merawat parut dan luka, meningkatkan penghadaman dan membantu menyahkan toksik dalam badan, merawat sembelit, baik untuk diabetes kerana ia merendahkan gula darah, gastrik, membantu meningkatkan pengeluaran mukosa perut, merawat ulcer usus, anti radang, anti bakteria dan anti kulat.

Bagi saya dan keluarga, sekiranya kami rasa makanan tidak hadam, perut rasa sebu atau kembung kami akan minum sebanyak 1/2 cawan jus aloe vera. InsyaAllah biasanya sebanyak itu dah boleh melegakan badan. Itu lah amalan kami sekeluarga jika sekiranya kami perlu mengambil jus aloe vera. Anyway, terdapat peraturan mengambil jus aloe vera dilabel botol- sebanyak 2~8 sudu sehari. Jadi adalah baik untuk mengambil jus aloe vera dalam jumlah yang sedikit sehingga anda tahu bagaimana badan anda bertindak balas. Bagi wanita yang mengandung adalah tidak digalakkan meminum jus aloe vera.

Bila kita potong daun aloe vera, kita akan lihat selain lendir putih terdapat juga cairan yang berwarna kuning. Cairan ini baik untuk orang yang menghadapi masalah sembelit. Cairan ini tidak boleh diambil selalu kerana ia akan memberi masalah kemudian hari. Cairan kuning ini akan menyebabkan usus kita akan bergantung padanya bila perlu membuang air besar.

Jus Aloe Vera senang didapati. Kalau nak beli, dapatkanlah yang organik dan berkualiti tinggi. Saya sentiasa stok jus aloe vera di rumah sebab pengalaman membuat saya tahu keberkesanannya pada tubuh badan. InsyaAllah.

Anda nak tahu bagus ke tidak jus aloe vera, kenalah cuba.. 🙂

Nenas, buah pilihan.

Ramai yang tidak tahu tentang khasiat buah nenas?

Pengalaman yang saya lalui pada suatu ketika dahulu…. saya mengalami sakit yang amat sangat di bahagian belakang bawah bahu.

Puncanya?
Saya mengangkat dan menolak satu tunggul kayu yang besar di belakang rumah. Kuat juga tenaga yang digunakan pada ketika itu.

Oleh kerana sakit itu berpanjangan maka saya buat keputusan berjumpa dengan seorang doktor pakar. Saya di suruh mengambil MRI dan keputusan MRI, kata doktor “nothing can be done” dan kata doktor itu lagi, ini adalah punca daripada peningkatan usia..
Nak tergelak pun ada juga pada ketika itu, sebabnya masa itu saya belumlah tua pun.

Saya dinasihatkan untuk mengambil ubat penahan sakit yang mengandungi steroid kalau tidak dapat menahan kesakitan. Sampai bila? Kata doktor, sampai bila-bila ketika terasa sakit. Doktor beritahu ramai yang sakit macam saya termasuklah doktor pakar yang saya berurusan ini. Saya tidak boleh terima kenyataan itu, menerima hakikat sakit sepanjang masa. Ketika itu saya bernekad untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, semasa di sebuah kedai buku, saya terbaca sebuah buku mengenai buah nenas. Rupanya buah nenas banyak khasiatnya. Terdapat enzim bromelin di dalam buah nenas yang masak/matang terutama di bahagian empulur.

Saya juskan buah nenas 2 atau 3 biji sehari, pagi dan petang. Minum semasa perut kosong. Saya amalkan setiap hari selama sebulan lebih.

Alhamdulillah saya sembuh.

image

Cara pengambilan jus nenas ini, mestilah dengan perut kosong, kerana enzim ini akan terus ke bahagian badan kita yang mengalami radang/inflammed. Sekiranya kita minum selepas makan, enzim ini akan membantu menghadamkan makanan kita, baik bagi mereka yang mengalami masaalah penghadaman.

Enzim bromelin mempunyai keupayaan untuk melawan keradangan yang boleh menjejaskan tisu dan organ-organ dalam badan. Ia membantu bersihkan badan dari bahaya toksin, mengelakkan pembekuan darah, meningkatkan penghadaman makanan dan nutrien dan juga berkesan melawan aktiviti virus dan bakteria dalam tubuh manusia.

Nenas boleh mencairkan darah. Bagi mereka yang mengambil ubat darah tinggi, kenalah berhati-hati kerana kalau darah terlalu cair, ini akan memudharatkan mereka. Diingatkan bila minum jus nenas ini, segeralah berkumur supaya acid nenas tidak merosakkan gigi.

Nenas mengandungi banyak vitamin c, membantu menyembuhkan luka. Mengandungi zat besi, menyerap kedalam saluran darah. Vitamin B, fungsi dalam membantu proses penghadaman dan melicinkan proses pencernaan didalam usus. Kandungan potassium bersama sodium mengawal imbangan air dalam tubuh. Walaubagaimanapun nenas boleh meningkatkan kadar gula dalam darah. Buah nenas yang belum matang amat berbahaya pada kandungan, boleh menyebabkan keguguran.

Berusahalah mencari penawar bagi setiap penyakit dan berdoalah kepada Allah serta bertawakkallah kepadanya. Sesungguhnya yang akan menyembuhkan kita hanyalah Allah ta’ala jua.

khasiat halba yang menakjubkan. (Fenugreek)

Halba adalah rempah ratus yang sering digunakan untuk masakan.
image

Halba dalam bentuk kapsul

image

 

 

Banyak khasiat yang didapati apabila kita mengambilnya dalam makanan atau dalam bentuk minuman cuma bila minum tahu sajalah rasanya tidaklah sedap, tapi InsyaAllah memang baik untuk tubuh badan. Saya ambil dalam bentuk kapsul, mahal sikit tapi senang, telan saja. 🙂

image

Dalam Bartram’s encyclopedia of herbal medicine:
1-2 sudu teh halba(tumbuk bagi pecah) dengan 1 cawan air dan rebus di atas api yang kecil selama 15 minit. minum air dengan halba.

Cubalah amalkan mengambilnya selama 3 bulan. InsyaAllah akan ada rasa kelainan pada tubuh badan.

Wanita arab suka mengambil halba ini untuk cantikkan buah dada. Bagi ibu yang menyusu, halba mampu menambahkan susu badan.
Halba juga baik untuk mereka yang menghidap kencing manis kerana ia boleh menurunkan paras gula dalam darah. Namun begitu perlu berhati-hati juga, jangan biarkan paras gula terlalu rendah kerana boleh memberi kemudaratan pada kesihatan, bahaya nanti (Bagi mereka yang mengambil ubat kencing manis). Disamping itu, halba berkesan merendahkan kolesterol, membantu melegakan batuk yang kronik, bengkak gusi, pembuka selera, sakit dalam perut, hernia dan banyak lagi manfaatnya.

Halba senang didapati di kedai runcit dan di supermarket. Murah pulak tu. Selamat dimakan sebab itu halba sering dimasukkan ke dalam masakan. Selain berkhasiat halba juga mengharumkan masakan.

Kita tidak akan dapat merasakan kebaikan satu-satu herba itu pada tubuh badan melainkan mengambilnya untuk satu jangka masa, cubalah selama dua tiga bulan.