Acar Limau Nipis

Hari ini nak share resipi acar limau nipis yang saya buat minggu lepas. Acar limau ini perlu dibiarkan selama seminggu atau lebih baru sedap dimakan sebab bila lama, rasa acar akan sebati dan kulit limau akan lebih lembut. Rasa pahit pada kulit limau membuat acar ini ada terasa sedikit rasa pahit, tapi itu yang membuat saya suka dengan acar ini.

Jom tengok resipi acar limau nipis ini. 😉

ACAR LIMAU NIPIS

1449530791830

Bahan-bahan:

1) 8 biji limau nipis di belah 8 (gunakan buah yang berkulit nipis)
2) 1 sudu besar garam
3) 2 sudu teh biji sawi
4) 4 ulas bawang putih dimayang kasar
5) 1″ halia dimayang
6) 1 sudu teh serbuk cili kering
7) 2 sudu teh serbuk jintan manis
8) 2 sudu teh serbuk ketumbar
9) 2 sudu besar cuka epal
10) 3/4 cawan gula molasses atau gula perang
11) 1/2 cawan air

Caranya:

1) Masukkan limau nipis yang telah dihiris 8 ke dalam mangkuk dan tabur garam, gula & cuka epal dan gaul sehingga rata.
2) Panaskan sedikit minyak dan tumis biji sawi sekejap dan masukkan halia, bawang putih, serbuk cili, jintan dan ketumbar sehingga naik bau.
3) Masukkan adunan limau nipis dan air. Kecilkan api dan masak selama 15 minit atau sehingga pekat dan kulit menjadi lembut (tambahkan sedikit air lagi sekiranya perlu lebih masa atas api untuk lembutkan kulit limau)
4) Bila dah sejuk baru masukkan ke dalam botol.
5) Masukkan ke dalam peti sejuk. Biarkan selama seminggu supaya rasa acar menjadi sebati.

Ok, selamat mencuba. 🙂

Remayung

Remayung merah adalah pokok herba yang memanjat seperti pokok sirih dan batangnya berwarna merah membuat kita senang mengenali pokok ini. Ia boleh ditanam dengan menggunakan biji atau dengan keratan batang. Pokok ini cepat membiak dan senang tumbuh. Tidak memerlukan penjagaan yang rapi tetapi memerlukan air secukupnya. Daun dan pucuk remayung boleh dimasak atau dimakan sebagai ulam

Kandungan mineral dan vitamin yang tinggi dalam remayung menjadikan ia sayur yang sangat berkhasiat untuk kesihatan.
image

Minum air rebusan remayung boleh menurunkan tekanan darah tinggi. Bagi mereka yang menghadapi masalah sembelit, makan daun segar dapat membantu melawaskan buang air besar. Pes daun ini boleh digunakan untuk merawat bisul.

SALAD REMAYUNG
image
Remayung adalah sayur herba yang berlendir yang lazimnya dibuat sup sayur ataupun digoreng.

Kalaulah nak makan remayung mentah, Saya rasa kena campur dengan sayur-sayur lain sebab bagi saya daun ni tak sedap dimakan gitu je…
Demi khasiatnya sekali sekala bolehlah dipaksa makan. 🙂

Rujukan:
Sayuran
Khasiat makanan & Ubatan
Ong Hean Chooi