Masak Lemak Rosemary Ikan Tenggiri

Salam Jumaat..
Cepat betul rasanya masa berlalu, esok dah pun hari Sabtu! Hari Sabtu lepas macam baru saja berlalu, tup tup esok bertemu lagi…inshaaAllah
Hari ini saya nak kongsi resipi Masak Lemak Rosemary Ikan Tenggiri.
Kalau rasa tak ada idea nak masak apa untuk keluarga pada cuti hujung minggu, bolehlah cuba masakan ini.
Suami dan anak saya gemar resipi ini, kata mereka masakan ini sedap. Dapat pujian lagi! hehehe…
Walaubagaimanapun citarasa kita mungkin tak sama. Apa yang sedap bagi mereka mungkin tidak sedap bagi anda.Tetapi yang pasti, kalau tak cuba, tentu anda tidak akan tahu, sama ada masakan ini menepati citarasa anda atau pun tidak. Betul tak? 😀

Jom lihat resipi!
image

Bahan-bahan:

3 keping ikan tenggiri
1 sudu teh rosemary kering
1 cawan air
Minyak
1 kotak kecil santan (saya guna jenama kara)
Garam

Bahan: Kisar tanpa air (sehingga hancur tetapi tidak lumat)

6 cili merah, buang biji
8 cili padi (terpulang pada citarasa pedas)
6 bawang merah
2 bawang putih
2/3 sudu teh serbuk kunyit

Cara:

1) Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak dan cili kelihatan sedikit gelap.
2) Masukkan air dan masak sehingga mendidih.
3) Masukkan ikan dan rosemary, kecilkan api dan didihkan kuah sehingga ikan masak
4) Masukkan santan dan garam secukup rasa. Kacau sehingga rata.
5) Bila kuah mendidih, padamkan api

Salam Aidil Adha

Salam Aidil Adha untuk semua umat Islam. Semoga anda semua ceria dihari ini.
Untuk hari raya kali ini, saya cuma sediakan satu jenis rendang sahaja. Saya tak buat ketupat pulut jadi kami makan rendang daging ini dengan lemang. Sedap! 😉

Rendang Kari Daging Special
image

Bahan-bahan:
1 kilo daging batang pinang dihiris nipis
4 sudu besar rempah kari daging ( saya guna jenama adabi). Kacau rempah kari dengan air supaya menjadi pes
1/2 cawan minyak
2 labu bawang besar dihiris nipis dan dicincang
5 ulas bawang putih dicincang
3 bunga lawang
5 cm kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
5 bunga cengkih
3 batang serai diketuk
6 cm lengkuas dihiris
1 keping asam gelugor
2/3 cawan air
Garam secukup rasa
Kalau suka pedas bolehlah masukkan hirisan cili padi

Bahan kisar: Lumat
2 batang lobak merah ( saiz besar)
8 biji buah keras
1 cawan air
6 cm halia

Cara:

1) Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih, bunga lawang, kulit kayu manis, bunga cengkih dan buah pelaga sehingga bawang kekuningan
2) Masukkan pes rempah kari dan masak sehingga terbit minyak dan rempah kelihatan sedikit gelap
3) Masukkan air dan bila mendidih baru masukkan daging dan asam gelugor
4) Masukkan bahan kisar, lengkuas, serai dan kacau sehingga rata
5) Bila rendang hampir kering, masukkan garam secukup rasa.

Ikan Senangin Masak Lemak Putih Lada Hitam

Tadi saya sajikan masak lemak ikan senangin untuk makan malam bersama keluarga. 😀
Masakan ini mudah dan tidak cerewet. Ada ketika bila saya sibuk dan nak cepat, masak lemak putih inilah antara menu yang saya suka buat. Bahan yang diperlukan tak banyak tapi hasilnya sedap, lebih-lebih lagi jika turut dihidangkan dengan sambal..
image

Bahan-bahan:

1 ekor ikan senangin (besar)buang sisik dan bersihkan. Potong 5 keping
1 1/2 cawan air
1 labu bawang besar dihiris kasar
3 ulas bawang putih dibelah dua
8 biji cili padi (terpulang pada citarasa pedas) dihiris
1 1/2 sudu teh serbuk kasar lada hitam
1 kotak kecil santan jenama kara
Garam secukup rasa.

Cara:
1) Didihkan air dan masukkan ikan, bawang, cili dan lada hitam. Rebus ikan sehingga masak di atas api yang sederhana
2) Masukkan santan dan garam. Kacau sehingga rata. Saya suka kuah masak lemak yang pekat tetapi jika anda suka kuahnya sedikit cair, bolehlah tambah air.
3) Santan mendidih segera padam api supaya santan tidak pecah minyak.