Ayam Bawang Rosemary

Resipi untuk hari ini, Ayam Bawang Rosemary!

Selamat mencuba 😀
image

Bahan-bahan:
4 keping dada ayam, kulit ayam dibuang dan dipotong kecil
2 labu bawang besar
6 ulas bawang putih
1 1/2 sudu teh rosemary kering
Cili padi (terpulang pada citarasa)
1/2 sudu teh serbuk kasar lada hitam
Serbuk kunyit
Garam
1 1/2 sudu besar mentega
Minyak

Cara:

1) Panaskan minyak dan goreng bawang besar sehingga kuning. Toskan dan tabur sedikit garam pada bawang goreng. Kacau sehingga rata
2) Gaul ayam dengam garam dan kunyit
3) Kemudian goreng ayam sehingga garing dan toskan.
4) Satukan ayam dan bawang goreng. Gaul sehingga rata
5) Tumbuk bawang putih, cili padi dan rosemary sehingga hancur
6) Panaskan 1 sudu besar minyak (supaya mentega tidak mudah menjadi hitam) dan masukkan mentega.
7) Tumis bahan yang ditumbuk sehingga kekuningan.
8) Masukkan ayam bawang. Goreng dan kacau sehingga rata

Sambal Hitam Pembuka Selera

Dah lama merancang nak buat sambal hitam, tertangguh tangguh hingga hari ini baru saya berjaya laksanakan. Sebenarnya, ini adalah kali kedua saya masak sambal hitam.
Resipinya lebih kurang sama seperti sebelum, cuma kali ini saya olah sedikit cara membuatnya.Ternyata ia lebih sedap hehe..

image

Bahan-bahan:

49 biji buah belimbing buluh (buah besar)
1 1/2 sudu teh garam

Cara:

1) Masukkan buah belimbing buluh ke dalam periuk tanpa air. Saya guna periuk ‘non stick’. Saya dapati guna periuk ini lebih mudah kerana bila buah mulai kering, ia tidak melekat diperiuk dan periuk pun senang dicuci.
2) Tutup periuk dan masak di atas api yang kecil. Buah belimbing akan mengeluarkan jus. Kacau sekali sekala
3) Tabur garam ke atas buah belimbing buluh dan kacau rata
4) Bila hampir kering hendaklah di kacau selalu dan masak sehingga buah belimbing buluh kecut dan menjadi kehitaman.

Merebus buah belimbing buluh sehingga kering mengambil masa lebih kurang 2 jam

Sambal Hitam

Bahan-bahan:

1) Rebusan buah belimbing buluh hitam dikisar/ditumbuk hancur
2) 300g bawang merah (6 ulas dihiris nipis. Baki dikisar/ditumbuk hancur)
3) 33 biji cili padi (terpulang pada citarasa) dikisar/ditumbuk hancur
4) 60g ikan bilis yg telah dikopek, dikisar/ditumbuk (jangan terlalu hancur)
5) 1/2 cawan minyak

Cara:

1) Panaskan minyak dan goreng bawang sehingga kuning
2) Masukkan bawang kisar dan cili kisar. Kacau dan goreng di atas api sederhana sehingga terbit minyak.
3) Masukkan ikan bilis dan goreng sehingga ikan bilis kelihatan sedikit garing
4) Masukkan buah belimbing buluh. Kacau sebati. Kecilkan api dan goreng sehingga sambal kelihatan hitam
5)Tuang ke dalam tapis dan tekan dengan sudu atas sambal hitam supaya buang lebihan minyak. Kalau suka sambal kelihatan basah-basah, tak perlulah buangkan minyak. Terpulang pada citarasa.

Halia Bawang Pembuka Selera

Hari ini saya kongsi resipi yang amat mudah dibuat iaitu halia bawang goreng sebagai pembuka selera.

Bagi saya lah, halia bawang ini sedap makan dengan daging goreng dan cili kicap. Tak payah ada lauk lain, tu je dah cukup menyelerakan… 😀

image

Bahan-bahan:

1/2 cawan halia muda yang dimayang
2 biji bawang besar dihiris sederhana nipis
6 ulas bawang putih dihiris sederhana nipis
4 tangkai daun kari muda diraut
Sedikit serbuk kasar lada hitam
Garam
Minyak

Cara:

1) Panaskan minyak dan masukkan bawang besar, halia dan bawang putih
2) Kacau rata dan goreng sehingga bawang kelihatan kekuningan
3) Masukkan daun kari dan goreng sehingga daun kari kelihatan kering
4) Tuang ke dalam tapis dan toskan
5) Tabur garam dan serbuk kasar lada hitam dan kacau rata.