Rendang Pedas Untuk Juadah Aidilfitri

Assalamualaikum

Raya baru-baru ini, saya masak dua jenis lauk iaitu rendang pedas dan daging kerutuk. Resipi asal rendang pedas ini adalah dari ibu mertua saya, Puan Sri Hajah Radziah bt Hj. Yaakob.

Saya sajikan lauk ini bersama ketupat pulut, lemang dan nasi himpit. Memang best! 😀

image

image

Bahan-bahan:

1 kilo daging batang pinang/lembut dipotong kiub saiz sederhana
1 kilo paru direbus sehingga masak, bila sudah sejuk, dipotong kiub saiz sederhana
1 kilo santan segar
2 sudu besar kerisik
Gula kabung/merah secukup rasa
Garam secukup rasa
1 helai daun kunyit di carik, batang keras daun dibuang
5 helai daun limau purut, urat daun dibuang.

Bahan kisar:
8 batang serai
7cm lengkuas
1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu besar serbuk ketumbar
40 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dengan air panas selama 5 minit (cili kering ini jenis kurang pedas)
5 ulas bawang putih
20 ulas bawang merah
5 cm halia
1 1/2 cawan air

Cara:
Masukkan bahan kisar, daging, paru dan santan ke dalam kuali. Kacau sehingga rata dan masak di atas api sederhana
Bila rendang hampir kering, masukkan kerisik, daun kunyit, daun limau purut, gula dan garam.
Kecilkan api dan masak rendang pedas sehingga kering. Kacau selalu.

Salam Aidilfitri 2015

Assalamualaikum..
Memandangkan kita masih berada dibulan shawal, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin pada semua pembaca…

image

Gambar dirakam pada hari raya kedua. Ibu dan adik beraya bersama kami pada tahun ini..

Dalca Sayur

Assalamualaikum.
Hari ini saya kongsi masakan kegemaran saya, dalca sayur 😀

Saya rasa ramai yang suka dengan masakan dalca. Biasanya kita makan dalca daging atau dalca ayam bersama nasi minyak, nasi tomato dan pelbagai jenis nasi lagi.
Tapi dalca sayur ini sedap bila makan dengan nasi putih. Lebih-lebih lagi bila saya gandingkan dengan sambal cili dan daging goreng kunyit. Sudah pasti ini akan meningkat selera makan saya hehe..
Jom tengok resipi.

image

Bahan-bahan:

2 sudu besar rempah kari ikan jenama Adabi dibancuh dengan sedikit air, kacau rata
1/3 cawan minyak
8 ulas bawang merah dihiris nipis
2 ulas bawang putih dihiris nipis
1 sudu teh rempah halba campur
1 kiub ikan bilis maggie
50g kacang dal direndam selama 2 jam
4 batang kacang panjang dipotong
2 biji kentang dibuang kulit, belah dua dan potong saiz sederhana besar
1 batang lobak merah, buang kulit dan belah dua. Potong saiz sederhana
1 terung panjang saiz kecil dibelah dua dan hiris saiz sederhana
100g kobis bunga. Dipotong saiz sederhana
1 biji buah tomato. Dibelah dua dan hiris nipis

Cara:

1) Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga kuning.
2) Masukkan halba campur dan goreng sekejap.
3) Masukkan rempah kari dan masak sehingga terbit minyak dan rempah kelihatan merah tua
4) Masukkan pati ikan bilis. Kacau rata.
5) Masukkan kacang dal dan 1 1/2 cawan air. Masak sehingga kacang dal lembut.
6) Masukkan ubi kentang.
7) Apabila ubi kentang kelihatan hampir lembut masukkan lobak merah, terung dan bunga kobis.
8) Bila kuah hampir pekat, masukkan kacang panjang, buah tomato dan garam secukup rasa. Kacau rata.
9) Reneh sehingga kuah pekat.