Buah Safarjal

Sebelum ke Tanah Suci, saya telah berpesan kepada suami dan anak supaya ingatkan saya beli buah safarjal (Quince) ketika di sana. Sepanjang 3 hari kami berada di Madinah memang tidak ingat langsung. Alhamdulillah hari ke 4 iaitu sehari sebelum kami bertolak ke Mekah, ketika di kedai buku, tiba-tiba saya teringat niat saya untuk mencari buah ini.

Saya tidak pernah melihat buah ini, cuma gambarnya saja. Jadi saya pun bertanya kepada penjual buku, di mana saya boleh dapatkan buah safarjal ini.
Cari di supermarket Bin Dawood Madinah tak ada tapi akhirnya dapat beli di Mekah

image

Dalam Tibb an Nabawi, Ibn Al Qayyim ada menyebut bahawa buah Safarjal memberi manfaat kepada perut dan jantung. Beliau berkata, buah ini boleh menghilangkan dahaga, mengurangkan rasa loya dan menghentikan muntah, meningkatkan perkumuhan air kencing dan bermanfaat untuk merawat ulser. Mengambil safarjal sebelum makan boleh menyebabkan sembelit dan mengambil selepas makan dapat membantu penghadaman. Manakala mengambil safarjal secara berlebihan boleh menjejaskan saraf dan boleh menyebabkan sembelit yang serius. Namun begitu, biji safarjal (macam biji epal) sangat baik untuk mencegah kering tekak dan saluran penafasan.

Buah ini kelihatan seperti buah pear dan bila dibelah dua nampak macam epal. Buah safarjal agak keras dan sukar dimakan segar(mentah). Rasanya sedikit macam epal, sedikit masam dan ada juga rasa kelat (mungkin buah muda) dan baunya harum. Buah ini biasanya dibuat jem. Boleh juga direbus dengan susu dan dimaniskan dengan madu atau dimasak sebagai pencuci mulut. Harga sekilo 18 Riyal (RM16.20).

Buah safarjal dikatakan banyak terdapat di Turki, Negara Arab, Iran, Pakistan dan Eropah.

Rujukan:
Healing with the Medicine of the Prophet s.a.w ~ Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah