Pincuk Daging

Hari ini saya nak berkongsi satu lagi resipi selera kasih iaitu pincuk daging.

Pincuk daging sedap dibuat dengan santan segar yang pekat. Macam kita buat kerabu, santan tidak dimasak dan semua bahan digaul bersama daging. Oleh kerana dirumah saya tiada stok santan segar jadi saya gunakan santan kotak. Resipinya saya olah sedikit mengikut citarasa saya. Hidangan ini memang sedap sekali kalau dimakan dengan sambal garam atau sambal belacan.

PINCUK DAGING
image

Bahan-bahan:

1) 350g daging batang pinang
2) 1 cawan air
3) 1/4 cawan santan kara
4) 1/4 cawan air
5) 1/2 sudu teh serbuk kasar lada hitam
6) 50g bawang besar dihiris nipis
7) 2/3 sudu besar kerisik
8) 3 sudu besar jus lemon
9) Garam secukup rasa

Cara:

1) Potong daging kepada 3 ketul dan rebus dengan 1 cawan air sehingga masak. Toskan
2) Daging dihiris nipis
3) Masukkan daging, kerisik, santan, 1/4 cawan air dan serbuk lada hitam ke dalam kuali dan masak sehingga mendidih. Padamkan api. Kemudian biarkan daging sejuk
4) Kemudian gaulkan daging bersama bawang, jus lemon dan garam sehingga rata. Biarkan 30 minit sebelum dihidang.

Selamat mencuba.

Daging Goreng Halba Kari

Assalamualaikum..
Selamat petang semua
Menu lauk pauk apa untuk hidangan makan malam nanti?
Kalau ada pokok kari di rumah tu bolehlah cuba resipi daging goreng halba kari ini. Tapi kena juga ada halba campur baru sedap. Halba campur adalah terdiri dari berbagai jenis rempah dan kebiasaannya sering digunakan untuk menumis masakan kari ikan. Kombinasi daun kari dan halba campur membuat masakan daging goreng ini sedap dan wangi..

Jom cuba

image

Bahan-bahan:

1) 300g daging datang pinang (daging lembut)
2) 10 tangkai daun kari muda. Daun dihiris nipis
3) 5 ulas bawang putih dicuci bersih. Tidak dibuang kulit. Ketuk dan cincang
4) 1 1/2 sudu teh halba campur/rempah campur
5) Serbuk kunyit dan garam

Cara:

1) Gaul daging dengan kunyit dan garam
2) Tumis bawang putih hingga kekuningan
3) Kemudian masukkan halba campur dan daun kari
4) Masukkan daging dan goreng sehingga air daging kering

Kalau suka pedas boleh saja masukkan cili padi.

Selamat menjamu selera.

Nenda

Seperti biasa, resipi hari ini pun simple dan mudah.

Nenda adalah masakan daging campur nenas. Saya guna nenas josephine, nenas yang manis. Rasanya, mmm…sedap!

NENDA sebenarnya NENas-DAging 😉

Jom cuba..

NENDA

1449093305996

Bahan-bahan:

1) 1 mangkuk daging yang telah dihiris nipis
2) 1/2 tsp serbuk jintan manis
3) 1/2 mangkuk nenas josephine segar yang dicincang. Empulur nenas tidak diambil.
4) Cili padi dihiris nipis
5) 4 ulas bawang putih diketuk dan dicincang halus
6) Serbuk kasar lada hitam, kicap & garam

Cara:
1) Daging diperap dengan jintan manis selama 30 minit
2) Tumis bawang putih dan cili padi sehingga kekuningan
3) Masukkan daging & nenas dan masak sehingga air daging kering.
4) Akhir sekali masukkan sedikit serbuk kasar lada hitam, kicap dan garam secukup rasa.

Hidangan nenda lebih berseri bersama salad sawi celur. 😀

SALAD SAWI CELUR

 

1449093907566

Bahan-bahan:

1) 2/3 mangkuk sayur sawi yang telah dicelur sekejap dan dihiris. Ambil daun & batang yang lembut je.
2) 1 biji capsicum yang dipotong dadu
3) 1/2 labu bawang besar dihiris nipis
4) 3 biji cili padi merah dihiris nipis
5) Jus 1/2 biji lemon / tambah jus lemon kalau suka lebih masam
6) 1 1/2 sudu besar minyak bijan
7) Serbuk kasar lada hitam dan garam secukup rasa.

Gaul semua bahan sehingga rata dan biarkan 30 minit sebelum dihidang.

Selamat menjamu selera