Jeruk Mangga Cuka Beras Perang

Assalamualaikum

Baru-baru ini, jeruk mangga asam boi menjadi begitu popular dikalangan warga FB dan ramai menyatakan jeruk mangga itu sedap. Saya pun telah membuatnya dan rasanya memang sedap. Anak saya suka jeruk mangga asam boi dan apabila telah habis, saya rasa dia nak saya buatkan lagi hehehe….
Saya kurang gemar masukkan banyak asam boi dalam makanan kerana kebanyakan asam boi yang dijual di kedai dan supermarket mengandungi saccharin dan bahan pengawet.

Beberapa hari yang lepas, saya buat jeruk mangga tetapi menggunakan cuka beras perang menggantikan asam boi. Kenapa saya guna cuka beras perang? Cuka beras perang menambah rasa kepada makanan dan mengandungi banyak asid amino yang boleh meningkatkan kesihatan badan kerana asid amino membantu pencernaan dan penyerapan nutrien daripada makanan.

Bagi saya jeruk mangga ini sedap dan hari ini sekali lagi saya buat jeruk mangga…

image

image

Bahan-bahan:

1) 1 kg mangga. Hiris sederhana besar
2) 2 1/2 ~3 sudu teh garam himalaya
3) 1 sudu besar gula pasir organik
4) 5 sudu besar cuka beras perang organik
5) 15 biji cili padi dihiris kasar

Cara:

1) Gaul semua bahan sehingga rata dan sebati.
2) Biarkan di suhu bilik selama 4~5 jam. Sekali sekala gaul jeruk mangga dengan senduk supaya rata.
3) Masukkan ke dalam balang/botol kaca.
4) Kemudian simpan dlm peti sejuk
Seperti jeruk mangga asam boi, jeruk mangga ini perlu di biarkan selama 4~5 hari barulah rasa jeruk sebati dan sedap dimakan.

Mangga yang digunakan dalam resipi ini adalah mangga mekal manis. Bagi saya jeruk ini sedap jika pedas sedikit.
Sekiranya anda gunakan buah mangga yang masam, mungkin perlu tambah gula dan kurangkan sedikit cuka beras perang.

Jeruk Sayur Kai Choy

Assalamualaikum

Hari ini saya selitkan entri jeruk sayur kai choy yang saya buat pada 9 hari yang lepas. Bagi mereka yang gemar makan jeruk sayur bolehlah mencuba resipi yang saya sertakan link dibawah. Bila buat sendiri pasti bila makan tidak akan timbul rasa ragu atau was was kerana yang dijual di kedai, kita tidak tahu tahap kebersihannya.

Jeruk sayur kai choy sedap di masukkan ke dalam masakan asam pedas, masak lemak ataupun digoreng…

image

Cara membuat, sila klik link di bawah.
Resipi Jeruk Sayur Kai Choy