Kerabu Cilantro

Assalamualaikum..

Hari ini saya nak kongsi resipi kerabu cilantro atau dengan nama lain kerabu daun ketumbar yang sememangnya berkhasiat. Bagi anda yang suka makan ulam, kebaikannya daun ketumbar amat jelas sekali. Untuk mengetahui khasiat daun ketumbar boleh klik disini.

Mungkin ada yang keliru mengenai daun ketumbar. Daun ketumbar ini seakan juga daun saderi/sup tapi ia agak nipis sedikit dan dari segi bau ia lebih kuat baunya dari daun sup. Terdapat 2 jenis daun ketumbar. Satu kelihatan hampir sama dengan daun sup dan yang satu lagi daunnya kecil-kecil dan biasanya daun ketumbar ini datang dari Negara Thailand. Bagi saya, daun ketumbar dari Thailand lebih sedap untuk dimakan sebagai ulam.

Bagi mereka yang gemar makan daun ketumbar seperti saya bolehlah cuba resipi dibawah. Hidangan ini bila dimasukkan juga timun dan lebihkan isi ikan sesuai dimakan dengan roti pita, yummy!

Kerabu cilantro kali ini lain sedikit dari biasa sebab saya tumbuk serai dengan bawang dan cili padi. Ini membuat rasa pada kerabu, bagi saya sedap. 😀

1448540697901

 

Untuk resipi kerabu cilantro ini saya guna daun ketumbar dari Thailand.
Bahan-bahan:
1) 1 mangkuk daun ketumbar yang telah dihiris. Batang yang keras tidak diambil
2) 3 ulas bawang merah dihiris nipis
3) 2 biji buah tomato sederhana besar dihiris nipis
4) 1/2 keping ikan (jenis ikan terpulang. Saya guna ikan siakap besar yang dijual hirisan keping) dimasak tanpa minyak.
5) 1 batang serai, 2 ulas bawang merah dan cili padi ditumbuk
6) Jus lemon, serbuk lada sulah dan garam secukup rasa.
7) Kalau nak makan dengan roti pita boleh masukkan 1 sudu besar minyak zaitun.

Caranya:
1) Masukkan ikan ke dalam bahan yang ditumbuk. Tumbuk sehingga ikan hancur. Tak perlu tumbuk sehingga lumat

2) Gaul semua bahan sehingga rata dan biarkan 30 minit sebelum dihidang agar semua rasa pada bahan menjadi sebati.

Ok, selamat mencuba.