Ikan Bawal Putih Masak Lemak Cekur

Assalamualaikum dan selamat pagi.

Seperti biasa semalam saya masak simple je untuk iftar iaitu Ikan Bawal Putih Masak Lemak Cekur.
Ulam cekur ni kadang-kadang dipanggil juga kencur.
Selain dimasukkan dalam masakan, cekur juga selalu digunakan sebagai ramuan dalam nasi kerabu. Saya suka juga makan ubi cekur sebagai ulam, cicah dengan sambal.
Daun dan ubinya mempunyai aroma yang mempengaruhi rasa pada masakan
So bagi anda yang tidak pernah makan cekur ni, mungkin tidak akan suka atau mungkin juga suka sebab rasanya yang unik.

Ulam cekur ni banyak khasiatnya iaitu:
Daun dibuat ubat pupuk atau losen disapu untuk merawat bengkak, reumatisme, sakit dalam perut, demam panas, sakit mata dan sakit kerongkong. Abu daun diletakkan pada bengkak payudara.
Manakala jus ubi cekur pula digunakan sebagai tonik dan juga ubat untuk mengeluarkan angin dari perut dan usus, mengeluarkan kahak dan lain-lain..

IKAN BAWAL PUTIH MASAK LEMAK CEKUR
image

1 ekor ikan bawal putih saiz sederhana dipotong dua
8 biji cili padi merah ditumbuk hancur
Sedikit serbuk kunyit
3 biji ubi cekur diketuk
3 helai daun muda cekur dihiris nipis
2 batang serai diketuk
1 cawan air
1/2 cawan santan kotak jenama kara
Garam secukup rasa

Cara:

1) Masukkan air, serai, cili padi, serbuk kunyit, ubi cekur ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih
2) Masukkan ikan. Bila sudah mendidih masukkan santan, garam dan daun cekur. Reneh sehingga masak

Rujukan:
Ong Hean Chooi: Rempah-ratus, khasiat makanan & ubatan

Masak lemak Pisang Muda

Assalamualaikum

Hari ini saya buat masak lemak lagi. Kali ini masak lemak kuning dengan pisang muda. Di rumah saya bila lauk simple macam ini dihidang, kami akan makan nasi bertambah-tambah, menyelerakan! 😀

image

Bahan-bahan:

1) 10 biji pisang muda Lemak Manis, dicuci bersih dan hujung dipotong sedikit. Pisang tidak perlu dibelah dan kukus sehingga masak
2) 100g ikan masin kurau dipotong kiub dan goreng sehingga masak dan kekuningan
3) 4 cili merah dan sedikit cili padi di kisar/tumbuk jangan lumat
4) 1/2 sudu teh serbuk kunyit
5) 1 1/2 cawan air
6) 1/2 cawan santan kotak kara
7) 2 batang serai diketuk
8) Garam jika perlu

Cara:

1) Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan masak sehingga mendidih.

Masak Lemak Betik Muda

Assalamualaikum

Seperti biasa, hari ini saya sediakan masakan mudah dari dapur kasihilmar.
Hidangan ini enak digandingkan dengan ikan goreng, sambal belacan atau cili kicap..

image

Bahan-bahan:

1) 300g betik muda dihiris sederhana besar
2) 2/3 cawan air
3) 1/2 labu bawang besar dihiris nipis
4) 2 ulas bawang putih dihiris nipis
5) 2cm halia di mayang
6) 40g ikan masin kurau dipotong kiub dan digoreng
7) 1/2 sudu teh serbuk kasar lada hitam
8) 1/2 kotak santan kara
9) 3~4 helai daun limau purut
10) Garam secukup rasa
Kalau suka pedas bolehlah masukkan hirisan cili padi

Cara:

1) Rebus hirisan betik dengan 2/3 cawan air di atas api sederhana sehingga lembut
2) Tumis bawang besar, bawang putih dan halia sehingga kekuningan
3) Masukkan ikan masin dan goreng sekejap. Kemudian tuangkan ke dalam periuk rebusan betik
4) Masukkan santan, lada hitam dan daun limau purut ke dalam periuk rebusan betik. Kacau sehingga rata. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa. Biarkan mendidih sekejap barulah padam api.