Ramadan

Assalamualaikum..
Sempena menyambut bulan Ramadan yang akan bermula esok, kasihilmar ingin mengucapkan:

image

Semoga kita semua dapat melalui Ramadan dengan penuh keimanan dan kesabaran.
Di sini juga saya ingin mengambil kesempatan memohon maaf seandainya ada salah dan silap..

Kari Ikan Tanpa Santan

Assalamualaikum..

Semalam saya masak kari ikan bawal tanpa santan dan makan bersama daging serai rosemary. Begitu menyelerakan… 🙂

Keluarga saya memang suka kari ikan, lebih-lebih lagi kalau disimpan semalaman dan kemudian makan cicah dengan roti. Ada ummph!

Setiap kali saya masak kari, tidak kira kari ikan atau pun daging, saya akan pastikan rempahnya dimasak agak lama. Saya memang sengaja tidak masukkan santan sebab bagi saya rasanya lebih sedap. Bila rempah kelihatan sedikit gelap, pekat dan terbit minyak barulah saya akan masukkan air dan masak sehingga mendidih. Lepas tu masukkan ikan atau pun daging. Bila lauk dah masak, direneh (masak diatas api yang kecil) sehingga kuah kelihatan sedikit pekat, baru best! 🙂

image

Bahan-bahan:

2 ekor ikan bawal saiz sederhana dipotong dua
5 sudu besar penuh serbuk kari ikan jenama Adabi-campur 1/2 cawan air
1 sudu teh halba campur
8 ulas bawang merah dihiris nipis
3 ulas bawang putih dihiris nipis
2 cm halia dihiris nipis
2 keping asam gelugor
4 biji terung saiz kecil dibelah dua
2 tangkai daun kari, dilurut
2 cawan air
Minyak
Garam

Cara:

1) Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih, halia dan halba campur sehingga bawang kekuningan
2) Masukkan rempah kari dan masak sehingga terbit minyak
3) Masukkan air dan masak sehingga mendidih
4) Masukkan ikan dan terung, bila kuah mendidih masukkan asam gelugor. Kecilkan api dan reneh sehingga kuah kelihatan sedikit pekat. Sekira suka kuah cair tambahkan sedikit air.
5) Akhir, masukkan daun kari dan garam secukup rasa. Kacau perlahan-lahan.

Daging Serai Rosemary

Assalamualaikum..

Tinggal beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut ramadan. Bulan mulia yang penuh keberkatan yang kita semua nantikan dengan satu keazaman untuk memperbaiki dan mensucikan diri. Semoga kita semua dikurniakan Allah kesihatan yang baik agar kita dapat melaksanakan kewajipan puasa dengan cemerlang sekali..

Cakap pasal puasa ni, saya nak kongsi satu resipi yang sesuai untuk sahur dan berbuka iaitu daging serai rosemary…

Jom cuba 😀

image

Bahan-bahan:

350g daging lembut/batang pinang
4 ulas bawang putih ditumbuk hancur
3/4 sudu teh/tsp rosemary ditumbuk hancur
3 batang serai dipotong 2cm dan diketuk
1/2 sudu teh/tsp serbuk lada putih
1 labu bawang besar dibelah dua dan dihiris nipis
1/2 cawan minyak
1 sudu besar/tbsp tepung beras
8 biji cili padi dihiris nipis/ terpulang pada citarasa pedas

Cara:

1) Gaul daging, bawang putih, rosemary, serai dan serbuk lada putih sehingga rata. Perap selama 30 minit
2) Panaskan 1/2 cawan minyak dan goreng bawang sehingga kuning.
3) Gaul daging dan tepung beras sehingga rata
4) Masukkan daging dan goreng sehingga garing. Toskan daging dalam penapis
5) Akhir sekali gaul daging dan cili padi sehingga rata.

Yummy!