Khasiat Selada Air/Watercress

Pokok herba selada air atau lebih dikenali sebagai watercress boleh ditanam secara benih atau keratan batang. Ia mudah dan cepat tumbuh. Oleh kerana ia bersifat diuretik, sup selada air diminum sebagai tonik untuk melawaskan buang air kecil dan air besar.

Menurut:

1) Heinerman’s Encyclopedia of Healing Herbs & Spices:

Sup selada air adalah satu remedi yang paling popular dikalangan masyarakat cina di Hong Kong dan Canton untuk merawat ulser dilidah dan bibir, lepuh (blister) dalam mulut, bengkak gusi, kerosakan gigi, nafas berbau, melegakan sakit kepala, penyakit kulit dan ‘hot flashes’.

2) Bartram’s Encyclopedia of Herbal Medicine:

Masyarakat Parsi purba memberikan selada air kepada anak-anak mereka untuk pembangunan fizikal badan. Selada air juga digunakan untuk penyakit pundi kencing dan buah pinggang, batu karang buah pinggang, sakit sendi kronik, gangguan metabolik, letusan kulit (skin eruptions) dan anaemia.

Penyediaan:
Jus segar: 1-2 tsp, tiga kali setiap hari.
Selada air mengandungi 4 kali lebih vitamin C dari salad (lettuce) dan kalsium lebih daripada susu (whole milk). Ia merupakan salah satu sumber terkaya Vitamin A dan serat.

image
Selada air boleh juga digoreng akan tetapi daun & batangnya yang tua tidak sedap dimakan kerana mengandungi banyak sabut.

SALAD SELADA AIR & PARSNIP

Pagi tadi saya buat salad selada air dengan parsnip. Saya pernah menulis tentang khasiat parsnip dalam post yang terdahulu.Khasiat Parsnip
image

image

Bahan-bahan:
1) Segenggam selada air, ambil daun dan batang yang lembut saja
2) 1 batang parsnip di parut/ dimayang
3) 2″ halia muda dimayang
4) 1/2 labu bawang besar dihiris nipis
5) Sedikit cili padi dihiris nipis
6) Jus lemon
7) 1 tbsp minyak zaitun & 1tsp madu
8) Garam secukup rasa.

Caranya:
1) Bahan 1 ~ 5 dicampur dan gaul rata.
2) Kemudian masukkan bahan 6 ~ 8 ke dalam mangkuk kecil dan kacau hingga sebati dan tuang ke dalam mangkuk selada air. Gaul sehingga rata.

Selamat menjamu selera. 🙂

Ref:
1) Bartram’s Encyclopedia of Herbal Medicine.
2) Heinerman’s Encyclopedia of Healing Herbs & Spices

Akar Teratai

Teratai adalah tumbuhan herba. Hampir semua bahagian pokok ini; akar, batang bunga muda, dan biji benih digunakan secara meluas dalam masakan Jepun dan Cina.

Air rebusan akar teratai diminum untuk merawat demam panas, cirit birit, kencing berdarah, hidung berdarah dan pendarahan dalam sistem penafasan

AKAR TERATAI yang muda boleh dimakan mentah dan yang matang sering dimasak sup, goreng ataupun dikukus.
image

AKAR TERATAI GORENG
image
Akar teratai dihiris nipis dan diperap dengan rempah kari ikan & garam secukup rasa selama 15 minit. Goreng sehingga garing dan sedap dimakan ketika panas bersama nasi putih.

image
Semalam saya rebus akar teratai dengan carrot. Rasa macam air rebusan jagung, sedap juga.

A good diet leads to a good health ~ 😉

Ref: Sayuran
Khasiat makanan & Ubatan
Ong Hean Chooi

Merunggai & Kesihatan

Buah merunggai yang saya beli baru-baru ini kulitnya dah agak keras dan sedikit bersabut. Kalau masak dalca sudah tentu tak sedap. Semasa nak beli tu punyalah pilih, ingatkan ambil yang muda, rupanya tidak! 😦

Buah merunggai yang muda sekiranya dimasak kari, sup, goreng, dalca dan sebagainya memang sedap…

Pokok merunggai mudah untuk ditanam dengan mencucuk keratan ranting atau dengan menabur benih biji. Ia kaya dengan pelbagai khasiat untuk kecergasan dan kesihatan badan dan adalah makanan kegemaran masyarat India.

Merunggai dikenali sebagai ‘pokok ajaib’ kerana ia dilaporkan dapat membantu merawat lebih dari 300 jenis penyakit. Merunggai dianggarkan mempunyai lebih daripada 90 nutrien dan 46 jenis antioksidan. Untuk menjaga kesihatan ramai mengamal memakan tumbuhan semulajadi, dan merunggai boleh memberi segala zat yang diperlukan oleh badan.

Dalam satu kajian saintifik ke atas merunggai oleh The World Health Organisation (WHO), telah membuat kesimpulan bahawa merunggai adalah sangat berkhasiat dan mempunyai nilai perubatan yang tinggi.

MANFAAT MERUNGGAI:
Merunggai membantu mencegah osteoporosis, meningkat sistem imun, meningkatkan kekuatan otot dan metabolisme, membantu dalam pemulihan otot, berkesan dalam rawatan anemia dan mengurangkan risiko strok. Merunggai juga terbukti berkesan mencegah atau merawat kencing manis, menurun paras kolesterol dan mampu mengatasi masalah penghadaman.

MERUNGGAI / MORINGA OLEIFERA
image
Buah merunggai boleh dimakan mentah. Ia boleh merawat masalah hati dan limpa serta sakit sendi. Biji merunggai pula bersifat antibiotik dan antiradang, berguna untuk merawat arthritis, penyakit sendi dan gout. Manakala jus bunga merunggai boleh meningkatkan kualiti dan aliran susu bagi ibu-ibu yang menyusu.

image

MASAK LEMAK UDANG & MERUNGGAI PISANG MUDA

image
Oleh kerana kulit buah merunggai ini keras jadi saya cuma ambil isi dan bijinya untuk dimasak.
Bahan-bahan:
1) 10 batang buah merunggai, dibelah dua, kikis ambil isi dan bijinya
2) 8 ekor udang, bersihkan dan tidak dibuang kulit
3) 5 biji pisang muda (kecil) dihiris
4) 1 cawan santan segar pekat / 1 kotak santan kara
5) 1 cawan air
6) Cili padi & serbuk kunyit, ditumbuk hancur dan garam secukup rasa

Caranya:

1) Panaskan 1 cawan air dan masukkan pisang dan cili padi & kunyit yang telah ditumbuk. Masak sekejap je
2) Kemudian masukkan isi merunggai dan udang & garam. Akhir sekali baru tuangkan santan. Bila ekor dan kepala udang dah bercantum, itu tandanya udang dah masak dan boleh tutup api.

Ok jom makan buah merunggai yang penuh dengan khasiat.. 🙂

Ref:
Nigerian Tribune:The Healing Power Of Moringa
Moringa Oleifera: The Miracle Tree