Setawar

Setawar adalah sejenis pokok herba yang mudah ditanam, cuma perlu menggunakan keratan ranting atau daunnya. Ia pokok yang senang hidup dan tidak perlu penjagaan rapi.

Semasa saya di alam persekolahan, saya suka sangat masukkan daun setawar ke dalam buku sekolah. Selepas beberapa hari daun setawar akan mengeluarkan akar dan kemudian saya akan letak daun-daun ini diatas tanah untuk biarkan ia tumbuh. Seingat saya, dulu-dulu orang suka sangat tanam pokok setawar di perkarangan rumah tapi sekarang ini dah jarang sekali kelihatan.

Pokok setawar pun ada khasiat ubatan. Daunnya tidak dimakan tapi jus daun setawar bermanfaat untuk mencuci saluran kerongkong dan merawat bengkak anak tekak. Air rebusan daun setawar diminum untuk membersihkan saluran kencing dan mengatasi masalah sakit ketika buang air kecil dan jangkitan pada sistem pundi kencing.

image

Tuam atau demah daun setawar yang panas pada tempat yang sakit arthritis, bengkak, salah urat dan lebam boleh memberi kelegaan.
Daun setawar boleh juga ditumbuk hancur dan tampal pada kulit sebagai rawatan untuk penyakit kulit, sakit dada, sakit kepala, sakit perut dan sakit saraf, insyaAllah.

Ruj:
Ong Hean Chooi: Tanaman Hiasan
Khasiat Makanan & Ubatan

Luo Han Guo

Di Negara China dan Thailand, buah Luo Han Guo digunakan untuk tujuan perubatan. Buah ini terkenal kerana rasanya manis dan ekstraknya digunakan sebagai pemanis. Luo han guo adalah beratus kaliganda manis daripada gula. Ia telah digunakan berabad-abad lamanya oleh orang Cina sebagai pemanis kalori rendah untuk merawat obesiti. Khasiatnya dikatakan memberi banyak manfaat pada kesihatan.

Buah organik luo han guo telah digunakan sebagai herba merawat batuk dan sakit tekak. Ia juga didapati berkesan merawat kencing manis dan disamping itu dikatakan boleh meningkatkan sistem imun, kelenjar dan sistem penafasan, merawat selsema, melegakan kesesakan paru-paru, saluran penghadaman, menggalakkan pergerakan usus dan menghilangkan kahak.

Buah ini biasanya dikeringkan terlebih dahulu sebelum digunakan kerana buah segar sukar disimpan sebab ia mudah rosak.

image

image

Buah kering luo han guo berkulit keras dan nipis. Mudah dihancurkan.
Sebiji buah luo han guo dipecah kecil dan direneh dengan 5 cawan air selama 5~10 minit.

Bagi saya, rasa air rebusan buah ini tidaklah begitu sedap tapi bolehlah diminum 🙂


Ref:
Luo Han Guo
Sweet Fruit Used as Sugar Substitute and Medicinal Herb

Khasiat Buah Gardenia

Beberapa bulan yang lalu, ketika saya berada di dalam Siam Supermarket, Bangkok..

Saya ternampak bebagai jenis herba dan salah satunya adalah buah gardenia. Masa tu saya tidak tahu yang buah gardenia ini adalah dari pokok bunga cina. Saya juga tidak tahu manfaat buah gardenia ini dan harganya pun tidaklah mahal.

Rupanya herba ini sering digunakan dalam perubatan Cina.

Buah gardenia banyak khasiatnya terutama untuk merawat jangkitan pundi kencing. Ia juga boleh merendahkan tekanan darah dan melegakan sakit dan pening kepala, demam panas, merawat sembelit, buang air kecil tidak lawas, batuk dan muntah berdarah, sakit kelamin seperti gonorea dan demam kuning.

Air rebusan buah gardenia baik untuk stres, ketegangan, kegelisahan dan membantu insomnia.

image

image

image

image

Pokok bunga cina mengeluarkan bunga berwarna putih dan baunya harum. Kelopak bunga cina sering dimasukkan ke dalam minuman teh untuk mendapatkan bau wangi.

Oh ya, bagi mereka yang mengambil ubat darah tinggi, dapatkan pandangan doktor sebelum mencuba teh gardenia.

Ruj:
Ong Hean Chooi:
Tanaman hiasan
Khasiat makanan & Ubatan
Siti Fauziah:
Tanaman hiasan Ubatan
Di Sekeliling Anda

Health Benefits of Gardenia Tea