Creamy Buttered Prawn

Salam…

Dah masak ke untuk makan tengahari?
Semalam saya tunaikan permintaan anak yang ingin makan creamy buttered prawn. Dah agak lama juga saya tidak buat. Alhamdulillah, puas hati betul bila melihat suami dan anak-anak makan begitu berselera sekali… 😀

Jom lihat resipi

image

Bahan-bahan:

12 ekor udang besar, buang kepala dan urat hitam
7 ulas bawang putih dicincang
Cili padi merah, terpulang pada citarasa pedas
5 tangkai daun kari diraut
5 oz mentega
3 sudu besar minyak
1 cawan susu cair
1/2 sudu besar tepung beras, dikacau dengan sedikit air
Garam secukup rasa

Cara:

1. Panaskan minyak dan masukkan mentega.
2. Tumis bawang putih, cili padi dan daun kari sehingga bawang putih kelihatan sedikit garing
3. Masukkan susu dan udang. Kacau sehingga rata.
4. Bila udang sudah masak, masukkan garam dan tepung beras. Kacau sehingga sebati
5. Setelah kuah kelihatan pekat, padam api.

Tenggiri Asam Goreng

Salam semua. ..
Tenggiri asam goreng ini, saya gadingkan dengan ulam dan sambal garam. Rasanya yang masam-masam, cukup enak bila dimakan dengan nasi hangat…walaupun lauk pauk lain dihidang, kombinasi tenggiri asam, sambal dan ulam saja yang menjadi pilihan makan malam saya semalam. Bertambah-tambah saya makan nasi. Alahai, tak boleh masak selalu tenggiri asam goreng ni, nanti berat badan saya naik!

My favourite!
image

Bahan-bahan:

6 keping ikan tenggiri.
40 keping asam gelugur
Air
Garam

Cara:
1) Rebus asam gelugor sehingga mendidih. Masukkan ikan tenggiri.
2) Pastikan paras air melepasi ikan. Rebus sehingga ikan masak. Biarkan sejuk
3) Simpan dalam peti sejuk selama 2 hari
4) Sebelum goreng, keluarkan ikan dari air rebusan asam gelugur dan siram dengan air paip. Toskan
5) Lumur garam pada ikan
6).Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga kelihatan sedikit garing.

Masak Lemak Bawal Putih Cilantro

As Salam..
Sudah hampir dua minggu saya tidak update blog, disebabkan saya agak sibuk beberapa hari kebelakangan ini.
Malam ini saya kongsikan satu resipi masakan yang saya sediakan untuk dinner tadi, iaitu masak lemak ikan bawal putih cilantro. Resipi ini simple saja. Walaupun simple, masakannya enak. Saya tahu… sebab saya nampak suami dan anak-anak makan nasi begitu berselera sekali. 😀

Jom lihat resipi
image

Bahan-bahan:

4 ekor ikan bawal putih
Cili padi dan serbuk kunyit ditumbuk
Segenggam daun bawang yg dihiris
Segenggam cilantro/daun ketumbar yang dihiris
1 biji besar buah tomato dipotong dua dan dihiris nipis
1 1/2 cawan air
2/3 cawan santan kotak.
Garam secukup rasa

Cara:

1) Didih air dalam periuk dan masukkan cili padi dan serbuk kunyit yang telah ditumbuk. Kacau sehingga rata.
2) Masukkan ikan bawal dan rebus sehingga masak
3) Kemudian masukkan tomato, daun bawang dan daun ketumbar. Kacau perlahan-lahan. Biarkan mendidih seketika.
4) Masukkan santan dan akhir sekali garam secukup rasa.
5) Mendidih sekejap, padamkan api.