Jeruk halia

Pagi ini apa kata kita tengok pulak resipi jeruk halia. 🙂
–Sebagaimana yang kita tahu halia banyak mengandungi khasiat untuk melancarkan perjalanan darah, boleh melegakan rasa mual dan loya, membuang angin dalam badan, membantu proses penghadaman dan merawat kekejangan perut dan badan juga akan merasa selesa dan ringan.

Minggu lepas saya membuat jeruk halia. Nak buat jeruk ni kena guna halia muda baru sedap sebab ia tak bersabut dan kurang rasa pedas.

image
Saya guna epal dan pear sebab saya tidak masukkan gula untuk jeruk halia ini.

image

image

Bahannya:
1) 3 cawan air
2) 1/4 cawan garam kasar himalayan
3) 1 biji epal dihiris nipis
4) 1 biji pear dihiris nipis
5) 1/4 cawan cuka epal
6) 1 mangkuk halia muda, potong ketul2 sederhana besar. Lupa pulak nak timbang hehe..
7) Segenggam cili padi.
8) 6 ulas bawang putih dihiris nipis.

Caranya:
1) Masukkan 3 cawan air, garam, epal, pear dan cuka ke dalam periuk. Masak atas api, bila mendidih kecilkan api dan masak selama 25 minit.
2) Bila dah tutup api keluarkan epal dan pear dan masukkan halia, cili dan bawang putih dan biarkan dalam periuk sehingga sejuk. Periuk jangan ditutup.
3) Dah sejuk boleh masukkan halia ke dalam balang kaca dan tutup balang. Supaya jeruk halia tahan lama selepas 24 jam, keluarkan air jeruk ini dan masak semula selama 10 minit diatas api yang kecil. Bila sejuk tuang semula kedalam balang tersebut dan simpan di dalam peti sejuk. Sedap di makan selepas seminggu, insyaAllah.

*Biasanya halia muda tak tahan lama walaupun di simpan dalam peti sejuk. Ia mudah kecut dan khasiatnya banyak akan berkurangan.

Halia akan ranggup dengan menggunakan garam secukupnya seperti mana resipi yang diberi.

Ok…. resipi sudah diberi, apa kata yang membaca ni cubalah membuatnya dan jangan lupa komen yaa.. 🙂

Acar Cili

Dua hari lepas saya telah balik ke kampung suami di Gerik, Perak. Di sana saya berkesempatan bertemu dgn kak teh yg telah memberikan saya resipi ini. Terima Kasih Kak Teh. 🙂

Maka saya namakan resipi ini “Acar cili kak teh”

Hari ni saya nak kongsi resipi ni dengan anda
jom..

image

image

Terlebih dahulu rendam 2 genggam asam jawa bersama 3 cawan air. Ramas asam jawa dan tapis.

Bahannya:

1) 1 kilo cili hijau yang tua
2) 1/4 kilo halia muda di hiris bulat
3) 1/2 kilo bawang putih
4) 2 cawan minyak
5) 10 tangkai daun kari
6) 3 sudu besar  jintan putih
7) 3/4 sudu besar jintan manis
8) 2 sudu besar biji sawi
9) 2 sudu besar halba
10) Gula dan garam secukup rasa
11) 1 sudu besar serbuk kunyit
12) 2 ketul asam jawa (1/2 kilo)

Caranya:
1)  Panaskan minyak dan goreng halia hingga kuning angkat dan toskan
2)  Goreng bawang putih hingga kuning dan toskan
3) Cili hijau dibelah tengah, jgn bagi putus. Tujuan supaya nanti cili akan rasa lebih sebati bersama asam. Goreng sehingga nampak layu dan toskan.
4)  Minyak yang sedia ada digunakan untuk tumis jintan putih, jintan manis, biji sawi dan halba hingga kekuningan dan masukkan daun kari dan serbuk kunyit.  Kemudian masukkan air asam jawa, gula dan garam. Masak di atas api yang kecil hingga pekat. Kemudian masukkan cili, halia dan bawang putih. Tutup api. Bila sejuk boleh masukkan ke dalam balang botol.

Saya dah cuba resipi ini, memang best.

image

Satu balang untuk saya dan keluarga. Dua lagi untuk ibu mertua dan adik ipar saya..

Kerabu mangga herba

Semalam dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru singgah sekejap di R & R Pagoh, beli buah. Nak beli buah mangga tapi yang muda untuk buat kerabu tak ada. Saya beli jugalah 2 biji, dah kekuningan tapi masih lagi keras jadi boleh jugalah kalau nak buat kerabu.

Teringat semasa zaman remaja dahulu, mak saya suka sangat buat kerabu mangga. Dia akan parut mangga dan masukkan belacan, cuka, gula, bawang, cili padi dan garam. Sedap sangat, tapi saya tak pernah buat kerabu macam tu sebab di rumah saya tak ada belacan dan cuka putih. Dah lama saya tak beli cuka putih sebab saya baca cuka biasa tu tak baik untuk kesihatan. Saya selalunya akan guna cuka epal dalam makanan. Saya juga tak pernah beli belacan sebab suami tak suka. Dia tak tahan dengan bau belacan, jadi semua masakan saya tak pernah masukkan belacan, hehe

Anyway, kerabu mangga herba sedap bagi mereka yang suka makan ulam. Kalau nak buat kerabu ini, kenalah pilih buah mangga yang masam.

image

image

Bahannya:
1) 1 biji mangga di sagat/parut
2) Segenggam daun selasih, segenggam daun kesom, 1 tangkai bunga kantan, 1 labu bawang besar, sedikit daun ketumbar dan cili padi. Semua di hiris nipis
3) 1/2 tbsp madu dan garam secukup rasa. Oleh kerana mangga ini dah masam jadi saya tak masukkan jus limau nipis.

Gaulkan semua bahan sehingga rata.

Dah boleh dihidang! Bagi saya kerabu ini memang sedap dan bukan itu saja, ia juga sangat berkhasiat. Bolehlah cuba, mana tahu anda mungkin suka dengan kerabu yang simple ni 🙂