Daun Kari Tonik Herba

Assalamualaikum.

Daun kari selalu digunakan dalam pelbagai masakan sebagai penambah aroma dan rasa. Daun ini sangat bernilai dan popular di Selatan dan Barat Negara India dan juga di Sri Lanka kerana ia digunakan dalam terapi perubatan alternatif dan sebagai tonik herba dalam perubatan Ayurveda.

Daun kari – satu ramuan dalam masakan kari – banyak digunakan dalam perubatan tradisional India. Seperti herba dan rempah yang lain, ia mempunyai beberapa manfaat pada kesihatan badan.

image

Daun kari dapat membantu tahap gula dalam darah dengan memberi kesan terhadap aktiviti insulin dalam badan dan mengurangkan kadar gula dalam darah. Bagi anda yang mengalami kencing manis, daun kari adalah kaedah semulajadi terbaik untuk mengawal tahap gula dalam darah.

Rendaman air daun kari diminum untuk merawat buasir, cirit, sakit perut, demam panas, serta perut dan usus kembung angin.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Cina mendapati, daun kari mempunyai ciri-ciri yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol (ldl) darah seseorang dan meningkatkan kolesterol baik (hdl). Ini membantu melindungi badan dari penyakit jantung dan aterosklerosis.

Disamping itu daun kari dapat membantu menghalang rambut beruban. Ia berkesan juga merawat rambut yang rosak, kelemumur, keguguran rambut dan digunakan pada bengkak, lebam dan penyakit kulit tertentu.

Beberapa pengamal perubatan herba menasihatkan mengambil beberapa helai daun kari segar di waktu pagi dan ada juga yang mengesyorkan jus daun kari dalam sukatan yang sesuai dan tidak melebihi daripada 15 gram.

Rujukan:

Ong Hean Chooi: Rempah Ratus
Khasiat Makanan dan Ubatan

Siti Fauziah Yusof: Ulaman
Di Sekeliling Anda

India Tribune: Curry leaves and its endless benefits

Health benefits of curry leaves

Rambutan & Rambut

image

Kita sedia maklum, rambut yang sihat, berkilat dan lebat adalah idaman setiap orang. Namun tidak semua dapat memilikinya di atas sebab-sebab tertentu. Walaubagaimanapun kita tidak seharusnya berputus asa tetapi sebaliknya terus berusaha untuk mencapai idaman tersebut.

Adakah daun rambutan boleh melebatkan rambut?

Terdapat pelbagai petua untuk melebatkan rambut dan diantaranya ialah dengan menggunakan daun rambutan.

Daun rambutan, dikatakan juga dapat menyihatkan kulit kepala, mungkin sebab itu agaknya – bila kulit kepala sihat – rambut pun tumbuh sihat.

Selamat mencuba, semoga berhasil !

Caranya:
Ambil beberapa helai daun rambutan muda dan ramas dengan air sehingga keluar buih dan tapis. Kemudian sapu air daun rambutan ke kulit kepala dan rambut. Biarkan selama 30 minit dan cuci seperti biasa. Lakukan 2 atau 3 kali seminggu.

Rujukan:
Tumbuhan Ubatan Untuk Penjagaan Kulit

Kerabu Betik

Assalamualaikum

Hari ini saya nak kongsi resipi kerabu betik. Ada orang panggil kerabu betik dengan nama somtam. Tapi rasanya kerabu betik saya ini lain sikit dari somtam yang pernah saya makan di restoran Thai. Bagi saya somtam memang sedap. Selain dari betik atau buah mangga yang mekal, tomato dan sos ikan sering dimasukkan ke dalam somtam. Oleh kerana kerabu betik yang saya buat terkurang bahan, jadi saya buat ikut selera yang menepati citarasa keluarga. Kata anak saya, sedap! Alhamdulillah 🙂

Jom intai resipi.

image

Bahan-bahan:
1) 1/2 (250g) biji buah betik yang mekal
2) 1 sudu teh garam
3) 30g daun ketumbar dihiris 1cm lebar
4) 1/2 labu bawang besar dihiris nipis
5) 1~1 1/2 sudu teh serbuk ikan bilis
6) Jus 1/2~3/4 lemon
7) Cili padi merah dihiris nipis
8) 50g kacang tanah panggang (roasted) ditumbuk kasar
9) Garam secukup rasa

Cara:

1) Betik diparut dan gaul dan ramas dengan 1 sudu teh garam selama 2 minit. Perap dan masuk dalam peti sejuk. Biarkan selama 1 jam
2) Masukkan daun ketumbar, bawang besar, serbuk bilis, jus lemon, cili padi dan kacang tanah ke dalam mangkuk dan gaul sehingga rata.
3) Keluarkan betik dan ramas serta perah buang air betik
4) Kemudian masukkan betik ke dalam mangkuk (no. 2) dan gaul sehingga rata. Rasa dan jika perlu tambah garam.

Biarkan 30 minit sebelum dihidang supaya rasa pada kerabu betik lebih sebati.

Selamat mencuba