Ketupat Pulut Daun Kelapa

Boleh dikatakan hampir setiap tahun saya buat ketupat pulut daun kelapa sebab ia mudah dimasak berbanding dengan ketupat daun palas. Saya belajar buat ketupat ini dari ibu mertua, sebab memang sedap!

Bila setiap kali balik beraya ke rumah ibu dan sekiranya ada kesempatan masa, saya akan membantunya membuat ketupat pulut daun palas. Tidak dinafikan ketupat daun palas juga sedap, tapi setiap kali saya buat hasilnya tidak cantik, tak seperti hasil kerja tangan ibu saya. Bagi saya lah masak ketupat daun palas ini memang renyah dan banyak kerja.

Ketupat daun palas yang cantik, kulitnya mesti kelihatan berkilat dan tidak nampak kecut… tak macam yang saya selalu buat, ketupat nampak kecut-kecut je, hehe..

Bagi siapa yang kurang berminat buat ketupat pulut daun palas, macam saya, bolehlah cuba buat ketupat daun kelapa seperti di bawah ini, 😉

By the way, for iftar last night, we also had ketupat pulut daun kelapa and rendang daging epal. ♥ it!

KETUPAT PULUT DAUN KELAPA

 

1448528183491

1448528306356

RENDANG DAGING EPAL

1448528458903

Ketupat Pulut
Bahan-bahan:

1) 1/2 kilo beras pulut
2) 1/2 kotak besar santan kara/1 kilo santan pekat segar
3) 11 kelongsong ketupat
4) Garam

Caranya:
1) Basuh bersih beras pulut dan rendam dengan 1 sudu teh (tsp) garam selama 2 jam. Kemudian toskan.
2) Basuh bersih kelongsong ketupat dan sudukan beras pulut masuk hampir penuh sehingga keparas boleh picit disatu bucu kelongsong ketupat dengan ibu jari dan simpulkan ikatan pada ketupat.
3) Masukkan ketupat ke dalam periuk. Tuangkan air dan santan sehingga 2″ atas paras ketupat. Masukkan 1 3/4 sudu teh (tsp) garam dan masak sehingga santan menjadi minyak dan ketika itu perlu dibalik2kan ketupat selalu. Bila kulit ketupat kelihatan seperti telah digoreng bolehlah diangkat, jangan biarkan ketupat berendam di dalam minyak.
4) Bila ketupat dah suam, potong pendek ikatan simpul dan lap ketupat sehingga bersih. Dah boleh dihidang.
5) Ketupat ini boleh dimasukkan ke dalam freezer untuk disimpan lama.
6) Sebelum dihidang boleh dibakar di dalam oven atau pun dikukus.

Rendang daging epal.

Bahan-bahan:

1) 1/2 kilo daging dihiris kecil dan nipis
2) 2 batang serai
3) 1″ lengkuas
4) 1/2 sudu teh (tsp) serbuk jintan manis
5) 20 tangkai cili kering dibuang biji dan direndam dengan air panas.
6) 2 labu bawang besar
7) 2 biji epal merah dibuang kulit.
8) 1/2 cawan minyak (kalau rendang ini kelihatan kurang beminyak, boleh ditambah minyak sedikit lagi)

Caranya:
1) Kisar bahan 2 ~ 7 sehingga lumat.
2) Masukkan minyak, bahan dikisar dan daging. Kacau sehingga rata.
3) Masak sehingga kering dan akhir sekali masukkan garam secukup rasa.

Rendang daging ini terasa lain sedikit daripada rendang daging yang biasa saya buat kerana saya tidak masukkan santan dan saya masak bersama dua biji epal. Cubalah kalau nak rasa satu kelainan. Bagi saya rendang ini sedap, 🙂

Ok selamat mencuba.

Daging Bebuas

Biasanya ramai juga yang gemar pucuk bebuas ini dicelur dan dicicah makan dengan sambal belacan atau pun dibuat masak lemak. Bagi saya daun bebuas ini sedap dan boleh di masukkan ke dalam pelbagai jenis masakan dan kerana rasanya yang unik, ia memberi rasa kelainan pada masakan….

Jom tengok resipi, mmm…sedap makan dengan nasi panas, menyelerakan 😀

DAUN BEBUAS
image

ANTARA MENU BERBUKA SEMALAM:
image

DAGING BEBUAS
image

Bahan-bahan:

1) 1 mangkuk daging batang pinang dihiris nipis
2) 2 batang serai dihiris nipis dan dicincang halus
3) 1 labu bawang besar dihiris nipis dan dicincang
4) Cili padi dihiris nipis
5) Serbuk kasar lada hitam & sedikit kicap pekat
6) 2 mangkuk pucuk muda daun bebuas dihiris kasar

Caranya:
1) Perap bahan 1 ~ 5 selama 10 minit.
2) Panaskan 1 mangkuk minyak dan goreng daging sehingga serai dan bawang menjadi garing
3) Toskan daging dan masukkan daging semula ke dalam kuali
4) Masukkan daun bebuas dan garam secukup rasa dan goreng sehingga daun bebuas layu dan kering.

Selamat menjamu selera 🙂

Daging Tomato

Masak daging tomato ini macam masak rendang daging lah pulak, lama di atas api sebab nak hancurkan bawang dan pekatkan kuah.

Resipi ini tidak mengunakan cili. Biasanya bila makan dengan nasi kami suka cicah dengan cili kicap. Daging tomato ini sedap juga di makan dengan ubi kentang bakar bersama sayur kukus.

Jom tengok resipinya..

image

image

Bahan-bahannya:

1) 1/2 kilo daging dipotong empat
2) 2 labu bawang besar dipotong kiub
3) 3 ulas bawang putih dicincang
4) 3 biji tomato dipotong kiub
5) 3 cawan air
6) 1/2 botol organic tomato sauce with vegetables (boleh juga guna tomato puree)
7) Lada hitam dan garam secukup rasa.

Cara membuatnya:
1) Tumis bawang besar dan bawang putih hingga kekuningan. Masukkan tomato dan air.
2) Bila dah mendidih masukkan tomato sauce dan daging. Masak di atas api yang kecil sehingga kuah menjadi pekat. Kemudian masukkan lada hitam dan garam secukup rasa.

Ok, selamat mencuba 🙂