Kerabu Bendi

Assalamualaikum

Untuk mereka yang suka makan sayur bendi, hari ini saya kongsi resipi kerabu bendi pula.

Jom cuba..

image

Bahan-bahan:

1) 15 batang sayur bendi
2) 1 biji tomato
3) 50g udang kering direndam air panas selama 5 minit
4) 150g bawang merah dihiris nipis
5) 3 helai daun limau purut dihiris halus
6) 1 batang bunga kantan dihiris nipis
7) Cili padi merah dihiris nipis
8) 2 tsp serbuk pati ikan bilis
9) Jus 1/2~ 3/4 biji lemon
10) 1/4 tsp serbuk kasar lada hitam
11) 1 tbsp gula melaka dan garam secukup rasa.

Cara:

1) Masukkan sayur bendi ke dalam air mendidih selama 2 minit, toskan dan siram dengan air sehingga bendi sejuk.
2) Hiris sayur bendi 1 inci panjang
3) Tomato di belah dua dan hiris nipis
4) Tumbuk udang kering, cili padi dan gula melaka. Kemudian gaul dengan bawang merah, jus lemon, daun limau purut, bunga kantan, serbuk ikan bilis, serbuk lada hitam dan garam secukup rasa.
5) Akhir sekali gaul sayur bendi, tomato dan bahan udang kering (4) sehingga rata. Terus hidang.

Kerabu Sawi Sesame

Assalamualaikum..
Apa khabar semua hari ini? Saya seperti biasa, ada ketika tu sibuklah juga mengurus rumah tangga.
Hari ini dah pun 12 Ramadan, cepat betul kan masa berlalu? Kalau dipanjangkan usia, Kita masih ada lagi, lebih dari setengah bulan baki Ramadan sebelum Shawal datang menyusul. Bila dah dekat raya nanti, mulalah kita sibuk membuat persiapan bagi meraikan hari kemenangan kita sebagai hamba Allah yang telah berjaya melaksanakan kewajipan berpuasa. InshaaAllah.
Seperti biasa, persiapan raya saya cuma ala kadar sahaja. Kuih raya selalunya anak-anak yang belikan, sedap-sedap pula tu! Lagipun diusia kini, saya dah kurang suka mengadap oven, hehe..

Anyway, semalam saya hidangkan kerabu sawi minyak bijan tapi saya namakan resipi ini kerabu sawi sesame, supaya resipi ini bunyi canggihlah sikit 🙂
Alhamdulillah keluarga saya suka hidangan ini. Rasanya yang masam-masam sedikit dan makan pula dengan masak lemak ikan masin kurau, begitu menyelerakan..

Jom cuba

image

Bahan-bahan:

1) 350g sayur sawi dihiris
2) 1 biji buah tomato dibelah dua dan dihiris nipis
3) 1/2 labu bawang besar dihiris nipis
4) 1 sudu teh serbuk kasar cili kering
5) 1 sudu teh serbuk pati ikan bilis knorr
6) 1/2 sudu teh serbuk lada putih
7) 1 1/2 sudu besar minyak bijan/sesame
8) Jus lemon
9) Garam secukup rasa

Kalau suka pedas boleh masukkan hirisan cili padi

Cara:

1) Batang sawi dicelur terlebih dahulu dan kemudian segera siram dengan air
2) Celur daun sawi, angkat dan siram air
3) Perah batang dan daun sawi
4) Gaul semua bahan 2~9 sehingga sebati
5) Masukkan sawi dan gaul sehingga rata
6) Biarkan 30 minit barulah dihidang

Kerabu Eryngii

Citarasa Keluarga Kasih. 🙂

image

image

Bahan-bahan:

1) 4 pokok cendawan eryngii dikukus sehingga masak. Biarkan sejuk. Kemudian dihiris nipis dan dimayang
2) 10 ulas bawang merah dihiris nipis
3) Cili padi dihiris nipis
4) Serbuk lada sulah
5) Jus lemon (1 biji besar lemon) & garam secukup rasa

Gaul semua bahan dan biarkan selama 30 minit sebelum dihidang.

Selamat menjamu selera.