Assalamualaikum..
Mungkin sudah ramai diantara kita kini berada di kampung bagi menyambut Eidul Fitri. Bagi anda yang masih dalam perjalanan pulang, berhati-hati ketika memandu. Bak kata orang, biar lambat asalkan selamat. Anak saya pula kata, biar lambat asalkan tak kena saman 😀 Kalau mata rasa mengantuk, berhentilah rehat sekejap. Jangan paksa diri untuk teruskan juga perjalanan, takut-takut ditimpa musibah, nauzubillah. Ingatlah pada yang tersayang!
Kini kita berada di penghujung bulan ramadan dan suasana hari raya sudah mula terasa. Jadi, hari ini saya masak Ketupat Pulut Daun Kelapa dan Rendang Tok. Resipi Ketupat Pulut boleh klik di link yang saya sertakan di bawah.
Bagi anda yang suka makan Rendang Tok, bolehlah cuba resipi yang saya kongsikan di sini. Rendang Tok sangat terkenal di negeri Perak dan terdapat banyak cara memasaknya. Ada yang guna lengkuas dan serai, ada juga yang suka gunakan daun salam dan daun kunyit atau daun limau purut. Bila ada berbagai cara bagus juga, ia menghasilkan berbagai rasa..
Anyway, jom kita tengok resipi Rendang Tok yang saya sediakan..
RENDANG TOK
Bahan: A
1) 1.5kg daging dipotong kiub
2) 200g bawang merah dihiris nipis
3) 50g bawang putih dihiris nipis
4) 80g halia dimayang halus
5) 100g kerisik & 50g gula melaka
6) 2 kotak kecil santan kara/ Pati santan segar dari 4 biji kelapa
7) 2 cawan air
8) Garam
Bahan: B
1) 3 tbsp serbuk ketumbar
2) 2 tbsp serbuk kasar cili kering
3) 1 tsp serbuk jintan putih
4) 1 tsp serbuk jintan manis
5) 1/2 tsp serbuk lada hitam
6) 1 tsp serbuk kunyit
Bahan: C
1) 2″ kulit kayu manis
2) 1 kuntum bunga lawang
3) 10 kuntum bunga cengkih
4) 10 biji buah pelaga
Semua bahan C ditumbuk sehingga hancur
Cara:
1) Masukkan bahan B dan C ke dalam periuk. Kacau rata dan masukkan daging, gaul sehingga rata dan perap selama 1 jam
2) Kemudian masukkan semua bahan A (2~7). Kacau sehingga rata
3) Masak atas api sehingga mendidih. Kemudian kecilkan api
4) Kacau selalu semasa rendang hampir kering supaya tidak hangus dan masukkan garam secukup rasa
5) Masak rendang tok sehingga kering
♡ This Rendang Tok 😉
RESIPI: KETUPAT PULUT
Klik link ini KETUPAT PULUT DAUN KELAPA
Selamat mencuba..